malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Siti filem terbaik FFI 2015
Diterbitkan:  Nov 24, 2015 12:40 PM
Dikemaskini: 4:43 AM
ADS

Filem hitam putih mengenai kehidupan seorang wanita miskin, Siti, diumum sebagai filem terbaik dalam Festival Filem Indonesia (FFI) 2015 semalam.

Filem arahan Eddie Cahyono itu berkisar mengenai kehidupan Siti - seorang ibu muda - yang memiliki seorang suami lumpuh dan terpaksa bergelut untuk mempertahankan keluarganya.

Dilakonkan oleh aktres yang kurang dikenali - Sekar Sari - Siti berdepan dugaan selepas kemalangan bot menyebabkan suaminya terlantar dalam lingkaran nasib malang.

Tanpa wang dan pekerjaan, Siti tidak mempunyai banyak pilihan kecuali menjadi penjual jajan di pantai pada waktu siang dan menjual dirinya kepada pengunjung karaoke pada waktu malam.

Pekerjaannya itu membawa ibu beranak satu itu berkenalan dengan seorang anggota polis.

Hidupnya lebih mudah? Tidak, sebaliknya menjadi lebih rumit.

Anugerah Piala Citra itu disampaikan kepada penerbit Siti , Ifa Isfansyah, oleh Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Anies Baswedan di malam kemuncak FFI 2015 malam tadi.

Bercakap di depan hadirin Ifa sempat mengucapkan terima kasih kepada ibunya yang "mengizinkan namanya digunakan" sebagai judul filem berkenaan.

Untuk makluman, Ifa adalah menantu salah seorang pengarah terkenal Indonesia, Garin Nugroho.

Sebelum ini Siti pernah meraih dua anugerah di peringkat antarabangsa, iaitu dalam Festival Filem Antarabangsa Shanghai 2015 pada Jun lalu.

Ia juga pernah diiktiraf atas keunikan sinematografi dalam Pertandingan Bakat Baru Asia mengalahkan calon dari China, Korea Selatan, Iran dan Jepun.

Lihat Komen