malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
George Lucas dah tak teruja bikin Star Wars lagi
Diterbitkan:  Nov 23, 2015 11:32 AM
Dikemaskini: 3:34 AM
ADS

Keinginannya terhalang, malah dia tidak lagi berasa teruja untuk membikin Star Wars, itu antara punca pengarah dan pencipta asalnya George Lucas tawar hati selepas 38 tahun filem itu menjadi pujaan peminat.

Memetik kenyataan Lucas, media melaporkan konsep filem saga Star Wars Episode 7: The Force Awakens tersasar jauh daripada idea asal.

Menurut pengarah berusia 71 tahun itu, pemilik baru Star Wars hanya mendengar idea yang diusulkan, tetapi memilih untuk menggunakan pendekatan lain.

"Isu itu muncul apabila mereka mahu sesuatu dibuat untuk peminat.

"Tetapi apa yang mereka tidak tahu, Star Wars hanya drama bersiri yang menjurus kepada hubungan kekeluargaan.

"Ia bukan mengenai kapal angkasa,” katanya.

Pengasas Lucasfilm itu secara rasmi menamatkan ‘hubungannya’ dengan Star Wars pada 2012 apabila dia menyerahkan syarikatnya kepada Walt Disney.

Katanya, dia memilih haluan berbeza kerana syarikat pengedaran memutuskan tidak mahu menggunakan ideanya.

"Mereka mahu menggunakan idea sendiri.

"Dan saya membuat keputusan untuk mengikut haluan sendiri dan biarkan mereka mengambil alih," katanya.

Lucas turut terkenal kerana mencipta filem Indiana Jones.

Di sepanjang kariernya sebagai anak seni, Lucas banyak mendapat pencalonan dan memenangi beberapa anugerah.

Dia pernah memenangi Anugerah Pencapaian Seumur Hidup (2005) oleh Institut Filem Amerika.

Lucas juga pernah mendapat empat pencalonan untuk Anugerah Akademi bagi kategori Arahan dan Penulisan Terbaik bagi filem American Graffiti dan Star Wars.

Sebenarnya, Lucas gemar bereksperimen dengan filem yang akan dihasilkan.

Namun, kebolehan dan hasrat itu dikekang, hingga menghilangkan semangatnya untuk membikin Star Wars lagi.

"Ini yang terjadi, kamu menghasilkan filem tetapi pada masa sama dikritik.

"Ada pihak yang membuat keputusan untuk kamu sebelum kamu melaksanakannya.

"Ia tidak menggembirakan kerana kamu tidak boleh melakukan eksperimen tetapi harus melakukannya mengikut cara tertentu," katanya.

Pun begitu, karier Lucas sebagai pengarah tidak terhenti begitu saja.

Dia membayangkan masih ada perancangan untuk mengarah filem selepas ini, walaupun bukan Star Wars.

"Saya akan mengarah beberapa filem, tetapi bukan yang secara umumnya akan ditayangkan di semua tempat," katanya.

Lihat Komen