malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Hajat Nabila 'ditunaikan' Hayati Hamka
ADS

Selepas menunggu beberapa lama, pelakon Nabila Huda Suhaimi akhirnya mendapat apa yang diidamkan selama ini - diberi kepercayaan membawa watak penting dalam pementasan teater.

Nabila Huda bakal muncul di Istana Budaya membawakan watak Hayati dalam teater Tenggelamnya Kapal Van der Wicjk yang diadaptasi daripada karya Allahyarham Hamka dan diarahkan oleh Mohamad Azhar Zainal.

“Masa dapat tahu berita itu, saya berasa amat teruja,” katanya kepada Malaysiakini.

Nabila ditemui selepas majlis pelancaran teater Tenggelamnya Kapal Van Der Wicjk di Istana Budaya semalam.

Menurut anak penyanyi rock terkenal tanah air Amy Search itu, dia memang sering berhajat dan ternanti-nanti untuk diberi peluang keemasan melakonkan watak utama.

“Saya sering terfikir bila boleh dapat peluang melakonkan watak hebat di Istana Budaya. Akhirnya, Allah makbulkan doa saya pada tahun ini,” katanya.

Mengapa lewat tiba

Kegembiraan Nabila Huda itu disambut dengan penuh kesyukuran walaupun dirinya bagaikan tidak dapat menerima kenyataan.

“Saya bersyukur sebab orang bagi kepercayaan pada saya untuk bawa watak yang besar,” katanya.

Ini adalah kali kedua pelakon berusia 31 tahun itu memegang watak dalam pementasan teater.

Kira-kira lima tahun lalu Nabila Huda mendapat watak sampingan untuk pementasan Natrah yang diarahkan Erma Fatima.

Namun, di sebalik kegembiraan mendapat tawaran daripada produksi kali ini, masih terbit persoalan di hati Nabila Huda mengenai ‘kelewatan’ tawaran yang tiba.

“Tidak tahulah kenapa tidak ada peluang sebelum ini. Mungkin saya tidak komersial untuk diberi peluang sedemikian.

“Disebabkan kepercayaan itu saya ucapkan terima kasih kepada produksi dan Abang Joe (Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani),” katanya.

Menjadi Harapan Nabila Huda agar segenap lapisan masyarakat hadir menonton Tenggelamnya Kapal Van Der Wicjk yang akan berlangsung antara 12 hingga 18 November ini.

“Saya harap semua orang datang tengok sendiri teater daripada naskhah ini. Ia adalah karya terbaik Hamka," katanya.

Bagi Nabila, karya itu sepatutnya mendapat sambutan hangat daripada peminat khususnya golongan wanita kerana ia mengisahkan cinta yang tidak mendapat restu orang tua.

“Pada saya, perempuan pasti suka tengok sebab ia mengenai cinta yang terhalang, saya baca novelnya pun sebak.

“Saya juga berharap semua orang dapat terima watak dan lakonan yang dibawakan dengan baik,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen