malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Kini Janet memeluk Islam
Diterbitkan:  Sep 22, 2015 4:12 PM
Dikemaskini: 8:15 AM
ADS

Penyanyi Janet Jackson yang sering tampil seksi dan menggoda dilaporkan menganut Islam selepas berkahwin - secara rahsia - dengan bilionair Wissam Al Mana.

Adik bongsu kepada mendiang Michael Jackson itu dikatakan mengambil serius mengenai ajaran Islam hingga mula mengurangkan penampilan menggoda dalam berpakaian serta gerak tari untuk siri jelajahnya.

Sebenarnya Janet - atau nama sebenarnya Janet Damita Jo Jackson - berkahwin pada 2012, namun baru dilaporkan media baru-baru ini kerana dia dikenali sebagai seorang yang gemar menyembunyikan kehidupan peribadinya.

Ia adalah perkahwinan ketiga Janet selepas James deBarge (1984) dan Rene Elizondo (1991).

Memeluk Islam dalam keluarga Jackson bukanlah satu perkara baru.

Sebelum ini, Michael juga dikatakan memeluk Islam, namun hal itu tidak dapat dibuktikan hingga dia meninggal dunia pada 2009.

Namun perkara itu diakui abangnya Jermaine Jackson yang terlebih dahulu memeluk Islam pada 1989.

Zaman lirik seksual berlalu

Jermain adalah anak keempat dalam adik-beradik Jackson. Beliau menggunakan nama Islam Muhammad Abdul-Aziz Jackson.

The Sun melaporkan, Janet, 46, seolah-olah menemui dirinya semula dengan agama baru dan perkembangan itu dimaklumkan kepada keluarganya.

Keluarga Janet menghormati keputusan beliau untuk memeluk Islam.

“Janet menghabiskan begitu banyak masa mendalami ajaran berkenaan dan umatnya.

“Segala gerak tari menggodan dan lirik seksual sudah lama berlalu bagi Janet,” kata sumber.

Sementara itu, Janet dikatakan mengakhiri persembahan jelajah konsert Unbreakable dengan kalimah insya-Allah.

Unbreakable adalah konsert jelajah kemunculan semula Janet yang bermula dari 31 Ogos lalu dan dijadual berakhir 25 Jun tahun depan.

Janet juga turut didakwa menarik diri daripada membuat persembahan untuk Festival Muzik iHeartRadio pada hujung minggu ini.

Janet dijadual muncul di MGM Grand Garden Arena bersama artis terkenal seperti Kanye West, The Killers, Coldplay, Kenny Chesney, Blake Shelton, The Weeknd, Duran Duran, Lil Wayne, David Guetta and Disclosure.

Bagaimanapun, menurut laporan Las Vegas Review, Janet terpaksa membatalkan konsert itu ekoran mengalami masalah telinga yang menghalangnya untuk menaiki penerbangan.

Lihat Komen