malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
FFM ke-27: Othman, Aziz protes atas pentas
ADS

Pengarah Othman Hafsham sempat melakukan protes terbuka terhadap pengurusan pencalonan Festival Filem Malaysia (FFM) ke-27 yang berlangsung di Kuala Lumpur malam tadi.

Selepas namanya diumumkan sebagai penerima Anugerah Karyawan Sepanjang Zaman, beliau menyampaikan ucapan pedas untuk menegur penganjur dan calon finalis kerana ada antara mereka tidak mendaftar dengan mana-mana persatuan.

Menjadi ahli persatuan berdaftar adalah syarat yang mesti dipatuhi mengikut peraturan Padu Citra.

“Saya merayu kepada pengarah yang masih tidak berdaftar, jadilah ahli FDAM,” katanya.

Baca nombor kuat-kuat

Sebelum ini, isu pencalonan tidak berdaftar sering dipertikaikan oleh Othman yang juga Presiden FDAM (Persatuan Sutradara Filem Malaysia).

Isu itu turut dipersoalkan oleh Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim).

Mengikut pematuhan Padu Citra dikeluarkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas), calon yang layak bertanding mestilah telah menjadi ahli atau berdaftar sama ada dengan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), FDAM, Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) atau mana-mana persatuan yang diikitraf.

Bagaimanapun, menurut sumber, beberapa pencalonan bagi kategori pengarah itu tidak melaksanakan tanggungjawab mereka.

Menurut Othman, menganggotai persatuan dianggap penting bagi menyatupadukan penggiat seni tanah air selain berupaya menjadikan industri terus maju.

“Kepada pengarah mereka semua harus grow up, semua negara ada persatuan industri filem.

“Mereka tidak memikirkan betapa penting persatuan, ia memerlukan perpaduan kerana tanpanya industri tidak boleh berkembang.

“Ramai mahu jadi pengarah, tetapi falsafah sebagai pengarah itu yang penting,” katanya.

Othman berharap isu yang pernah ditimbulkan beberapa kali itu tidak akan berulang lagi untuk tahun seterusnya.

“Finas harus prihatin dan peka dengan perkara ini dan tidak ambil mudah kerana ia sebahagian daripada perkembangan industri,” katanya.

Selain Othman, pengarah dan pelakon Aziz M Osman turut melakukan perkara sama di pentas ketika menyampaikan anugerah bagi kategori Pengarah Terbaik.

Sebelum menyampaikan anugerah itu, Aziz memulakan ucapannya dengan menyatakan nombor persatuan FDAM.

Sementara itu, Datuk Yusuf Haslam yang turut ditemui di festival itu berkata, menganggotai persatuan tidak perlu khusus kepada mana-mana bangsa.

“Bagi saya elok diadakan persatuan itu tidak kira Cina, India atau Melayu.

“Mereka perlu mendaftar sebagai ahli persatuan tetapi jangan ada kepentingan jangan nak jadi jaguh,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen