malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

Ramadan kali ini, tentunya ramai sedang mengikuti perkembangan terkini di Timur Tengah. Ini berikutan pertikaian selepas negara-negara Arab memutuskan ikatan diplomatik, perdagangan dan pengangkutan dengan Qatar.

Tidak perlu saya mengulas apa-apa kerana pelbagai laporan boleh didapati dalam semua media. Untuk kami, eskpatriat yang berada di UAE, tertakluk bawah perundangan negara ini.

Apapun yang berlaku, kemeriahan Ramadan di UAE masih seperti biasa. Dalam cuaca panas dengan suhu mencengkam, sememangnya ujian berpuasa memberikan lebih banyak ruang untuk menginsafi.

Bagi hampir lima ribu rakyat Malaysia, salah satu aktiviti yang dinantikan ialah bazar Ramadan. Oleh kerana tiada bazar Ramadan diadakan sebagai budaya di sini, ekspatriat Malaysia pelbagai bangsa dan agama tetap menjadikannya satu aktiviti bersama.

Bazar Ramadan Malaysia bermula empat tahun lalu dan diadakan di perkarangan Konsulat Malaysia di Mankhool.

Diadakan setiap petang Jumaat (atau Sabtu) sepanjang Ramadan. Kali ini hanya dua kali kerana cuti musim panas sudah bermula dan ramai yang bakal balik kampung untuk menyambut hari raya.

Sebanyak sembilan gerai tahun ini menjual pelbagai juadah masakan Malaysia. Tentunya suasana bazar Ramadan Malaysia di Dubai ini tidak seperti di tanah air. Tetap dapat menghilangkan kerinduan buat para ekpspatriat yang berpusu-pusu membeli-belah.

Sempena Ramadan juga, ada majlis bersama Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohd Al-Bakri yang dianjurkan oleh Group 'Nadwah Ilmu Dubai. Beliau mengadakan ceramah di Dubai dan Abu Dhabi.

Sambutan yang amat baik oleh ekspatriat Malaysia meraikan kunjungan mufti yang dalam masa yang sama, tercarik dalam kontroversi mengenai tuduhan yang beliau berfahaman Wahabi di tanah air.

Ceramah yang diadakan biasa sahaja tetapi peluang untuk bersama dengan ekspatriat lain memberikan ruang untuk bermesraan.

Pertama kali seorang imam dari Malaysia, mendapat jemputan sepanjang Ramadan di UAE untuk mengimamkan solat tarawih.

 

ustaz shukri Ali imam terawih jemputan di Al A'in

A post shared by Mohd Fudzail (@mohdfudzail) on

Ustaz Shukri Ali, dari Terengganu yang digelar 'Sudais Malaysia' itu menjadi imam solat tarawih di sebuah masjid di kota Al Ain yang terletak dalam emiriyah Abu Dhabi.

6 juta hidangan iftar

Kanak-kanak Malaysia juga sempat menyediakan hadiah hari raya untuk rakan-rakan mereka, kanak-kanak pelarian Syria. Aktiviti yang cukup berkesan dalam memberikan kanak-kanak ini peluang untuk menyumbang sempena Ramadan.

Sepanjang Ramadan kali ini juga, sebanyak hampir enam juta hidangan berbuka puasa atau iftar disediakan percuma di seluruh UAE.



Pihak kerajaan, pelbagai organisasi, institusi kebajikan sukarela, sektor korporat dan individu bekerjasama untuk memastikan setiap orang mempunyai juadah berbuka puasa.

Semua orang dijemput, tidak kira berpuasa atau tidak, Islam atau bukan.

Cara paling popular ialah memasang khemah-khemah di kawasan perumahan, juga di dalam kawasan masjid.

Paling besar ialah di masjid Sheikh Zayed di Abu Dhabi yang menyediakan 30,000 juadah iftar sehari!

Lebih 100 buah masjid juga menyediakan 'peti sejuk Ramadan' untuk memberi makanan percuma sepanjang malam.

Ada juga pasar malam Ramadan di Dubai yang memberi peluang untuk orang ramai membeli belah sambil bersantai selepas tarawih. Selalunya, aktiviti malam berpanjangan hingga ke subuh.

Waktu kerja Ramadan juga pendek, kakitangan kerajaan bekerja dari 8 pagi ke 2 petang sahaja. Kakitangan swasta juga bekerja lebih pendek masa, paling lambat balik pukul 4 petang.

Memang banyak aktiviti bulan Ramadan di UAE.

Pernah tahun 2001 dahulu, saya bersama Yusuf Islam atau Cat Stevens, membuat aktiviti dakwah tepi jalan bersama Awqaf (Jabatan hal ehwal Islam dan kebajikan). Aktiviti ini untuk orang bukan Islam memahami mengenai Islam, terutama ibadah puasa.

Ramai yang memeluk Islam melalui dakwah jalanan ini, terutama karisma Yusuf yang menjadi idola ramai peminat dari Barat sebagai penyanyi rock, Cat Stevens di tahun 70-an.

Kami turut menyediakan juadah ringan di samping menjual CD (popular masa itu) dan buku-buku berkaitan Islam (ada diberi percuma dalam pelbagai bahasa).

Keterbukaan dalam Islam memberikan wajah sejahtera. Bukan sekadar retorik politik yang mencemarkan Islam oleh perbuatan bodoh, seperti kejadian di bazar Ramadan Kluang baru-baru ini yang turut menjadi perbualan di UAE. Ramai kawan-kawan bukan warga negara Malaysia yang pelik dengan "Islam Melayu!"


MOHD FUDZAIL MOHD NOR bermastautin di UAE sejak 2000. Pernah bekerja di TV3 dan kini usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen