malaysiakini logo
story-image
ADS

Hujan mencurah lebat di hari ketiga Ramadan. KN datang dengan kereta baharunya, menjemputku di pejabat.

“Tak usah kerja kuat sangat. Yang atas tetap dengan kepala degil mereka,” ujar KN mengingatkan.

Aku cuma tertawa ringan. Tawa itu kubiar terkorban dengan pertanyaan, “Kita berbuka di mana?”

“Kajang.”

Sememangnya meredah jalan raya, khusus Jalan Reko untuk menghala ke Kajang, di dalam hujan adalah sedikit kebodohan. Kenderaan sering terganjal. Jalan raya macet. Lopak dan lecak air di mana-mana.

Di beberapa bahagian jalan raya, air melimpah dan membanjir secara kilat. Kami di dalam kereta, sesekali tersengguk dek kereta yang lain berhenti mendadak. Lampu isyarat seolah buntu tidak berfungsi.

KN tiba-tiba membuka persoalan. “Kalau dapat berbuka puasa dengan seseorang yang bukan Islam, kau ingin berbuka dengan siapa?”

Memang demikian teman-temanku, suka membuka persoalan yang mencabar kreativiti, dan mengajak agar akal diasah.

“AC Grayling. Adele. Lupita Amondi Nyong'o. Arundhati Roy barangkali.”

KN ketawa. Entah apa yang kelakar.

“Eh, sudah baca catatan Facebook yang dipertua PAS Gombak, Salehhuddin Nasir?”

Aku mengangkat bahu. “Apa tulisnya?”

“Lebih kurang bunyinya begini: Meluat menyampah aku tengok pemimpin DAP buka puasa sekali dengan orang Islam. Menyebuk je. Masa lain buat pesta arak dan pesta onani. Haram jadah sungguh. (Kepada) orang Islam, Allah dah sebut lakum di nukum waliyadin. Sorry saya tak perlu pandangan sufi tasauf di sini. DAP musuh Islam. PAN (Parti Amanah Negara - AMANAH) PKR macai DAP!"


BERKAITAN:
Berbezanya PAS dulu, sekarang
Jaga tulisan wahai ahli PAS


Aku diam.

Kenderaan makin melimpah di atas jalan. Destinasi yang dituju belum tentu. Cermin hadapan kereta ditimpa air bertalu-talu.

“Bolehkah kita berbuka puasa dengan orang bukan Islam?” KN menjolok.

Kubota Shun di Masjid Kuala Kangsar

Aku diam, pandangan mataku di luar. Penunggang motosikal yang kuyup. Hatiku merasa belas.

“Helo, dengar tak?” KN semacam mendesak.

“Ada hadis lebih kurang berbunyi begini terjemahannya: “Bagi orang yang melaksanakan puasa ada dua kebahagiaan; kebahagiaan ketika berbuka, dan kebahagiaan ketika bertemu dengan Rabb-nya”.

Untuk aku, saat kebahagiaan itu, yakni ketika berbuka, boleh sahaja diraikan dengan sesiapa pun yang si berpuasa itu merasa bahagia dengannya. Biar dia Angelina Jolie, Rihanna, Selena Gomez... hak dia sendiri.

Giliran KN ketawa. “Jadi, kalau ada orang bahagia berbuka dengan agamawan yang menjual meja hidangan buka puasa dengan harga RM30,000, maka persilakan? Jadi, jangan pertikaikan mereka yang ingin berbuka dengan Bruno Mars?”

Aku memasang wajah serius. Bukan aneh menjemput bukan Islam ke masjid, atau untuk berbuka. Bukankah wakil tentera Jepun yang menduduki Perak, Kubota Shun, diundang berbuka puasa di Masjid Kuala Kangsar?

Benakku membayangkan, pada tahun 1942; bermula 11 September, Kolonel Watanabe yang mengetuai Military Administration (M.M.A) di Tanah Melayu telah menyantuni orang Melayu yang kebanyakannya beragama Islam.

Ini bermakna ketika pendudukan Jepun, orang Melayu diberi muka. Untuk pekerja Melayu, yang tidaklah begitu ramai, mereka diberi kebenaran pulang awal ketika bulan Ramadan tahun 1942 itu.

Malah menjelang hari raya mereka diberi bonus. Ketika itu, Sultan Perak yang ke-31, Sultan Abdul Aziz al-Mu'tasim Billah telah bertitah bahawa baginda gembira dengan kebebasan beragama yang dipraktikkan oleh kerajaan Nippon, dan betapa pemerintah Jepun menunjukkan minat yang besar kepada ibadat di bulan Ramadan:

"For the freedom allowed by Nippon Government in the matter of religion. I am inclined to say the Nippon Government must took a great deal of interest in the fasting month of Hari Raya."

Insiden ini dirakam oleh Yoji Akashi dalam Japanese Military Administration in Malaya-Its Formation and Evolution in Reference to Sultans.

Apa masalahnya berkenduri dengan mereka yang bukan Islam?

“Kau dengar tak? Desak KN lagi.

Aku menjawab, “Orang Melayu biasa buat menjamu dan berjamu dengan orang bukan Islam.”

Berkenduri dengan bukan Islam?

KN bertanya kembali, “Berkenduri dengan bukan Islam? Seperti, mereka makan babi dan kita makan yang halal; tetapi duduk atas tikar sekali?”

Aku angguk.

OMG, like seriously?”

“Ya, John Turnbull Thomson, yang merakam kehidupan hariannya di Tanah Melayu antara tahun-tahun 1838 ke 1853, dalam buku Glimpses Into Life In Malayan Lands menjelaskan beliau antara lain dijemput berkenduri di Pulau Pinang.

Dalam bab berjudul The Kinduri beliau menceritakan perihal bagaimana orang Melayu, Cina dan India duduk sekali di dalam sebuah kenduri. Orang Melayu menjamah makanan sendiri, sementara yang Cina memakan babi, adapun India memakan kari.”

Several buffaloes had been killed for the Malays, dozens of pigs for the Chinese, and there was no want of vegetables and curry-stuffs for the Hindoos. Thus the whole area was full of savoury pungent smells, no doubt attractive to the taste of each and all. Certain it is, that the number of happy faces, the salaams and recognitions that awaited our host that day, showed that he was the most popular of men. As the food was ready, so did the people squat down on the ground and devour. The Malays with their tubs of rice, bowls of curried buffalo, and sauces of sambals (condiments). They dug into the contents with their right hands, carefully keeping their left hands from the dishes, for reason it would offend good taste to mention. The Chinese with their kits of rice, and cups full of stewed pork, shovelled mouthfuls into their wide open jaws,laughing and joking in their uncouth dialects.”

Detik-detik kemesraan sedemikian tidak sahaja dirakam di Pulau Pinang tetapi juga di Melaka. Thomson dalam bab Malacca Once More turut menceritakan perihal yang hampir sama. Di Melaka, dalam sebuah kenduri beliau melihat umat pelbagai agama duduk sekali dan memakan hidangan masing-masing tanpa rasa curiga dan prasangka.

But the most amiable part of the Malacca man has not been mentioned; this consists in his absence of religious prejudice. The Buddhist, Brahmin, Catholic, Protestant, and Mahomedan, each assist at each other’s festivals, and join with ardour in the ceremonies. A cursory glance would convince the looker-on that indeed men were all of one mind here, and that the coming event was about to arrive. How could it be otherwise? Though Malacca has its representatives of all nations in the world, yet they are so mixed up with each other, that toleration on the broadest basis alone would secure the peace of society.”

Akan tetapi Thomson, dalam catatan beliau turut menyatakan ‘kemesraan’ dan juga pertemuan-pertemuan sedemikian, khusus dalam kalangan orang Melayu kian memudar.

Beliau mencatatkan terdapatnya piknik atau kenduri orang Melayu yang sering dianjurkan di pantai telah terhenti (nota: ‘barangkali’ ia adalah adat mandi safar).

Menurut Thomson, ini adalah hasil pengaruh ajaran seorang agamawan dari Mekah. Apakah agamawan itu seorang Wahabi terlampau tidak dapat dipastikan, kerana Thomson hanya menyatakan begini:

I have since heard that a holy man from Mecca has put a stop to the custom, for what reason is best known to himself.”

Terlalu banyak, terlalu cepat

Terlalu banyak dan cepat Malaysia telah berubah.

Kereta KN tiba ke destinasi. Sebuah restoran tidak jauh dari stadium. Mujur hujan telah berhenti dan kami tidak perlu berpayung. Kami mencari meja. Tidak terlalu sukar kerana barangkali hari baru teduh. Kami memesan makanan. Sate, tomyam, cream puff, dan air bandung.

Kemudian KN bertanya lagi semacam provokasi, “Mengapa ada orang seperti Salehhuddin Nasir yang tidak berhemah, dan berhikmah?”

Aku melayan khayal sendiri. KN melihat status Facebook rakan-rakan. Tiba-tiba KN bersuara, “Lihat meja berselang dua dari kita.”

Aku menoleh ke kiri.

Sebuah meja, terdapat enam orang. Dua gadis bertudung. Seorang pemuda Melayu. Dua lelaki Cina, dan seorang perempuan India. Mereka sedang menghadap makanan. Sering tertawa dan berbual sungguh-sungguh.

Tidak berapa lama, detik maghrib tiba. Mereka, enam generasi muda Malaysia itu sama-sama menikmati makanan. KN mengulang soalan, “Mengapa ada orang seperti Salehhuddin Nasir yang tidak berhemah, dan berhikmah?”

Aku meneguk sirap bandung, dan memandang KN, “Mengapa kita memerlukan orang seperti Salehhuddin Nasir yang tidak berhemah, dan berhikmah? Mengapa kita malah memerlukan ekstrimis? Atau PAS? Kita memerlukan seperti mereka yang berenam itu.”

Mata KN jatuh kembali ke meja berenam. Seakan cemburu.

Aku menganjurkan, “Dalam puasa ini nanti kita ajak Vihaan dan Wang Fang buka sekali. Kita tak perlukan suara keras yang memadam tradisi.”

KN angguk. Mata kami menjeling sesekali ke meja berenam. Terapung gelak tawa. Selang beberapa tika, tiga Melayu itu meminta diri untuk bersembahyang.

Aku bersuara kepada KN, “Nah, kalau kau dapat berbuka puasa dengan seseorang yang bukan Islam, dan lain daripada Vihaan dan Wang Fang; kau ingin berbuka dengan siapa?”

KN menjawab dengan senyum terkulum, “Theresa Kok barangkali?”

Kami sama-sama ketawa.


FAISAL TEHRANI pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen