malaysiakini logo
story-image
ADS

Minggu ini, saya sempat mengikuti diskusi ekoran “Soal Selidik Belia Arab” yang dilakukan di 16 buah negara Arab. Seramai 3,500 belia yang berusia antara 18 dan 24 tahun dengan 50 peratus lelaki dan 50 peratus perempuan.

Saya memang berminat dengan analisis laporan soal selidik tersebut kerana selama 18 tahun di UAE, melihat dan terlibat dengan pelbagai peristiwa, insiden serta pembangunan yang di luar jangkaan.

Sewaktu saya mula-mula bekerja di Dubai Internet City, ada ramai juga graduan baru yang bekerja bawah atau bersama saya. Mereka ini hampir semuanya baru pulang dari luar negara dan mempunyai perspektif berbeza daripada segi sikap dan cara bekerja.

Saya banyak belajar daripada mereka kerana berada di negara orang, tentunya kita menghormati tuan rumah. Mereka ini boleh dikatakan, memang terpilih dan antara 'cream' di kalangan anak-anak Emirati.

Majoriti mereka itu, sedekad kemudian berjawatan tinggi dan ramai menjadi CEO di pelbagai GLC. Agak menarik kerana kepercayaan pemerintah terhadap anak-anak muda.

Malah, pengerusi Dubai Internet City ketika itu, Muhamad Gergawi sebaya dengan saya, dilantik sebagai menteri sewaktu berusia 30 tahan dan dia kini menjadi seorang menteri kanan.

Mulanya janggal kerana bos besar, bertaraf pengerusi hanyalah sebaya. Beliau memberikan kepercayaan seluruhnya, 'empowerment' kepada staf untuk meneroka bakat dan kepakaran kami, walau saya hanyalah pendatang.

CEO pun senior setahun dua dan purata staf bawah 30 tahun. Sebab itu rasanya, Dubai Internet City jauh lebih berjaya daripada Cyberjaya.

Tahun lepas, perdana menteri UAE melantik ramai anak-anak muda sebagai menteri, menteri belia Shamma Suhail Al Mazrui, lulusan Oxford yang berusia 22 tahun!

Purata menteri di UAE berusia 38 tahun dengan kelayakan yang sesuai, bukan sembarangan. Bandingkan dengan menteri-menteri kita yang ada antaranya sudah patut pencen sahaja. Malah ada yang menjadi anggota parlimen (MP) dan menteri sehingga lima penggal. Seakan tiada orang lain yang lebih baik.

Mungkin UAE boleh melakukan sedemikian kerana tiada parti politik dan politikus. Ada kalanya, demokrasi tidak lebih baik.

Kerana itu soal selidik terbaharu belia Arab memberi gambaran paling jelas mengenai harap mereka di abad ini. Data dan analisis boleh digunakan oleh pembuat dasar merangka polisi dan perancangan.

Tiga demografi

Seramai 60 peratus populasi Arab bawah usia 30 tahun. Satu pertiga dari mereka, lebih 100 juta orang, berusia antara 15 ke 29 tahun.

Soal selidik yang terbesar ini dibahagikan kepada tiga demografi meliputi negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) iaitu Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi serta UAE), Afrika Utara (Algeria, Mesir, Libya, Maghribi, dan Tunisia), negara sekitar Mediterranean atau Levant (Iraq, Jordan, Lubnan dan Palestin) dan juga Yemen. Manakala Syria tidak termasuk kerana keadaan semasa.

Pertamanya soal selidik ini menunjukkan optimisme di kalangan belia Arab terjejas dan terbahagi kepada negara-negara berada (kaya) dan yang kurang berada (miskin). Mereka yang berada di GCC yakin dengan kemampuan kepimpinan negara, sebaliknya di negara-negara lain.

Keduanya, kesemua mereka mahukan kerajaan melakukan lebih banyak lagi untuk keperluan mereka. Terutama menangani cabaran semasa serta fokus kepada polisi yang mesra belia.

Ketiganya, mereka menyatakan pengangguran dan ancaman ekstremisme sebagai masalah terbesar yang menyebabkan Timur Tengah terus mundur.

Keempatnya, belia luar GCC menyatakan yang sistem pendidikan terus terkebelakang dan tidak menyediakan kelayakan, kepakaran untuk pekerjaan dan masa depan. Kurikulum tidak berubah selama 40 hingga 50 tahun dan anak-anak menggunakan buku teks yang sama dengan ayah ibu mereka, satu petanda masalah dan kelemahan kerajaan.

 

Kelimanya, majoriti yakin yang IS semakin lemah sepanjang tahun lalu.

Keenamnya, negara UAE dianggap negara idaman yang mereka mahu menghuni. UAE mengatasi USA dan Kanada. UAE menjadi negara model yang sememangnya tidak dipertikaikan. Sesuatu yang ada disebut oleh perdana menteri Malaysia sendiri. Dubai pada hari ini menjadi jenama yang terkenal di dunia, walau hanya membangun lebih sedekad lalu.

Ketujuhnya, Donald Trump dianggap anti-Islam, sesuatu yang tidak mengejutkan. Kebimbangan belia Arab tentunya mempunyai justifikasi kerana Trump terus rancak mengebom dan membunuh di Iraq serta Syria pada 100 hari pertama sebagai presiden.

Kelapannya, Rusia mengambil alih tempat Amerika sebagai rakan yang boleh dipercayai. Peralihan yang turut menunjukkan rasa marah kepada Amerika dalam banyak tragedi yang telah dan sedang berlaki di bumi Arab.

Kesembilannya, walau mereka terus berbangga dengan bahasa Arab, tetapi penggunaan bahasa Inggeris semakin meluas dan menjadi kebiasaan.

Kesepuluhnya, Facebook menjadi medium paling popular untuk bertukar pandangan.

Pengangguran tertinggi di dunia

Setelah mendengar hujah-hujah para panel mengenai soal selidik ini, dua topik paling utama ialah reformasi pendidikan dan penyediaan pekerjaan yang mencukupi dengan keperluan.

Dengan pengangguran setinggi 30 peratus belia Arab, juga kadar tertinggi di dunia, banyak yang mesti dilakukan oleh kerajaan, kepimpinan Arab seluruhnya. UAE menyumbang dana biasiswa kepada belia Arab lain dalam pelbagai bidang, tetapi tentunya tidak mencukupi dengan sejumlah lebih 100 juta yang sedang bernafas.

Apalagi dengan konflik berterusan, perang berganti perang menyebabkan radikalisme, esktremisme menjadi sebahagian daripada kehidupan belia Arab.

Begitupun ideologi IS semakin merudum pengaruhnya.

Melihat ke masa depan, di mana-mana jua, termasuk di Malaysia, anak-anak muda sentiasa menjadi harapan yang mesti difokus.

Kerana itu, setelah mengikuti soal selidik ini, saya tidak merasa yakin dengan masa depan anak-anak saya sendiri di tanah air dalam pelbagai skandal dan isu melanda.

Tentunya, dikatakan TN50 yang saya belum faham sepenuhnya (kerana tidak terdaya untuk mengikut pelbagai akronim entah apa-apa), menjadi inisiatif kerajaan sekarang untuk anak-anak muda.

Sebagai generasi yang dibesarkan dengan wawasan 2020, saya percaya transformasi paling utama yang mesti kita lakukan ialah dengan membuang majoriti politikus yang gagal dalam tugas diamanahkan. Mereka yang rasuah, menyeleweng, merompak dan berbohong hari-hari.

Terutama pak dan mak menteri tua yang lebih bertaraf badut dengan aksi dan kata-kata membodohkan minda generasi muda!


MOHD FUDZAIL MOHD NOR bermastautin di UAE sejak 2000. Pernah bekerja di TV3 dan kini usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen