malaysiakini logo
story-image
ADS

Hari Ahad sempena cuti umum Isra'dan Mi'raj, saya mengajak isteri untuk bersarapan di Emiriyah Fujairah (yang namanya dari 'fajar'), dalam 50 minit. Sudah sepuluh tahun kami tidak berkunjung ke satu-satunya emiriyah berpesisirkan Teluk Oman dan saujana Lautan India.

Emiriyah kedua terkecil dengan penduduk seramai 250,000 sahaja. Daripada jumlah itu, 130,000 adalah ekspatriat.

Sewaktu anak-anak masih bersama kami, terutama ketika awal bermastautin, memang selalu juga ke Fujairah bersama kawan-kawan. Anak-anak juga ada mengikuti kursus Outbound.

Sepuluh tahun adalah jangka masa yang lama kerana Fujairah hanyalah satu jam perjalanan kereta, lebih dekat dari Abu Dhabi.

Terletak antara pergunungan Hajar yang keras, wadi (lembah) yang subur dan pantai bersama laut membiru, Fujairah juga mempunyai banyak mata air panas. Fujairah tidak mempunyai hasil minyak, hanya menjadi tempat simpanan minyak.

Ekonomi Fujairah bergantung kepada pertanian dan paling besarnya, pelabuhan dan terminal minyak. Semenjak ditubuhkan dalam tahun 1982, Pelabuhan Fujairah yang mempunyai air dalam dan fasiliti terbaik itu berkembang pesat terutama selepas Perang Teluk.

Sepanjang perjalanan di lebuhraya tiga lorong sebelah, sememangnya membawa memori bersama keluarga dan kawan-kawan. Pertama kali juga kami merentas Fujairah tanpa famili.

Landskap Fujairah yang 75 peratus bergunung ganang itu memberi gambaran kehidupan masa lalu dan masa kini. Perubahan ada di mana-mana.

Sedikit sebanyak itulah proses kehidupan dan Fujairah juga tidak terpencil dengan lebuhraya terbuka yang membolehkan pemanduan selaju mungkin kerana tidak banyak radar terpasang.

Capati dan kari ayam

Kami mencari restoran Asia yang chefnya berasal dari Malaysia. Terbayang masakan Cina Malaysia yang menyelerakan. Seorang warga Malaysia yang bekerja dengan keluarga diraja Fujairah selalu mengajak kami dan pagi Ahad itu tergerak untuk ke sana.

Malangnya, kami datang awal pagi dan restoran itu hanya buka tengahari. Lantas kami mencari restoran lain berdekatan, sebuah restoran Pakistani.

Capati dan kari ayam tetap menyelerakan walau hampir setiap hari kami makan sama ada roti canai, briyani dan teh karak dari warga India dan Pakistan, tetap sama sedapnya.

Selepas makan, masih awal lagi dan kami ke sebuah mall besar di tengah bandar. Sekadar untuk melihat suasana mall sambil menanti waktu solat. Mall itu kepunyaan hypermarket UAE yang telah bercambah ke Malaysia, iaitu LuLu.

Tidak banyak, terlalu sedikit malah kadang tiada produk Malaysia di rangkaian hypermarket LuLu yang mendapat keistimewaan di Malaysia.

Pernah tiga tahun lalu, Felda dikatakan mahu membawa masuk produk sehingga RM100 juta setahun melalui LuLu, namun hanya beberapa bulan dan produk Felda tidak kelihatan.

Bayangkan kalau produk-produk kita menembusi pasaran UAE melalui rangkaian hypermarket yang berjumlah 100 itu. Selalunya buah-buahan seperti betik dan tembikai dari Malaysia yang kelihatan. Lain-lain produk Malaysia jarang sekali saya nampak di LuLu.

Dari mall itu, kami segera menjelajah Fujairah termasuk merentas daerah Kalba, dalam Emiriyah Sharjah yang bersempadanan dengan Fujairah. Kebetulan isteri saya bekerja dengan Universiti Sharjah dan meninjau kampus universiti di Kalba.

Sharjah adalah satu-satunya Emiriyah yang mempunyai dua pesisir, satu Teluk Arab dan satu lagi Teluk Oman.

Dari Kalba kami memandu jauh ke atas pergunungan dengan mengikut jalan bersebelahan pagar sempadan negara Oman.

UAE dan Oman mempunya beberapa sempadan, diutaranya yang bersempadan Fujairah, di selatan dengan Sharjah dan dua tompok kawasan dalam Dubai. Ada wilayah negara Oman dalam UAE.

Masjid tertua

Kami kembali ke Fujairah untuk ke bandar Dibbai di bahagian utara, bersempadan Oman di Utara.Melalui jalan pesisir Lautan India. Sememangnya keindahan alam yang masih kekal sejak ribuan tahun memberi banyak inspirasi dan menginsafkan.

Melalui dalam 80 perkampungan, yang besarnya Murbeh, Qidfa, Al Bidiyah, Masafi dan Tawain. Di AlBidiyah, terletak masjid tertua (foto, bawah, kanan) di UAE yang dibina dalam tahun 1446.

Fujairah mempunyai gunung-ganang, gurun dan pantai yang indah. Kombinasi yang mempunyai tarikan untuk ramai pelancung yang mungkin tidak semua mahu melihat Burj Khalifa dan segala kemodenan, kehebatan pencakar langir di Dubai dan Abu Dhabi.

Itulah antara sumber pendapatan Fujairah, pelancongan. Tahun lepas sahaja, lebih satu juta pelancong ke Fujairah yang walau mempunyai lapangan terbang antarabangsa, tidak mempunyai apa-apa penerbangan komersil selain kargo dan sewa.

Kami suka melalui 'less traveled roads' dan memasuki kampung-kampung yang tentunya juga banyak perubahan. Rumah-rumah banglo bagai istana kelihatan di mana-mana. Memberi gambaran kemewahan dan kehidupan lebih baik untuk rakyat tempatan.

Begitupun, salah satu langkah kerajaan Fujairah ialah untuk memastikan persekitaran alam semula jadi yang indah dan unik terus kekal sebagai sebahagian dari warisan.

Orang seperti saya yang sudah lama merantau dan melawat banyak negara di dunia, juga dalam usia sebegini sememangnya mahu melihat keadaan 'sebenar' sesuatu tempat.

Bukan semata-mata untuk melancong di tempat para pelancong berkerumun.

Kerana itu, warga bandaraya Abu Dhabi, Dubai dan Sharjah memenuhi Fujairah di hujung minggu dan cuti panjang. Sebagai ‘weekend gateway’ yang jauh dari hiruk pikuk bandaraya.

Santai mencari ilham

Tiada kebisingan, tiada pencemaran alam, tiada masalah parkir dan kampung serta bandar berdekatan sesama lain. Sesuai untuk santai dan mencari ilham.

Salah satu sukan tradisi yang diambil dari Portugis yang pernah sekejap memerintah ialah lawan lembu setiap petang Jumaat. Pernah berkesempatan melihatnya.

Kegiatan memancing menjadi popular dan banyak khidmat marin yang menawarkan pakej memancing terutama di laut dalam.

Warga tempatan ramai menjadi petani dan nelayan. Ramai anak muda yang berulang untuk kerja di Dubai dan abu Dhabi mencari rezeki, tetapi pulang untuk menikmati kehidupan kampung. Setelah bersara, mereka kembali menjadi petani dan nelayan.

Masih banyak kampung tradisional yang terus kekal terutama di kawasan pergunungan dan lembah.

Warga tempatan mahu kampung-kampung ini kekal keaslian walau sejam perjalanan, Dubai umpamanya sudah menjadi kota global yang terkenal seluruh dunia dengan pencakar langit, kemodenan, kemewahan dan segala yang bernama komersilisme.

Sepanjang memasuki kampung-kampung, dua kali saya ditahan penduduk kampung. Satu gambaran mengenai kehidupan di Fujairah.

"Shooway! Shooway!"

Maksudnya, pandu perlahan-lahan.


MOHD FUDZAIL MOHD NOR bermastautin di UAE sejak 2000. Pernah bekerja di TV3 dan kini usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Dia penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen