Persoalan nasional (mukadimah)

Hishamuddin Rais
(Dikemaskini )

Ada sesuatu yang tidak kena. Saya yakin sekali memang ada sesuatu yang masih liar mengganggu. Gangguannya seperti tulang ikan terubuk tersangkut di tekak. Sebentar hilang kemudian muncul menyakitkan kembali. Tapi saya yakin apa yang akan saya timbulkan dalam siri tulisan ini bukan tulang ikan terubuk.

Perkara yang akan saya timbulkan ini lebih bahaya dari tulang terubuk. Malah lebih bahaya dari racun VX yang berjaya membunuh Kim Jong Nam di KLIA.

Tulisan ini adalah mukadimah tentang keracunan negara. Mukadimah tentang tembok beracun yang selama ini menggagalkan garis tepat tamadun bangsa di Tanah Melayu.

Saya menggunakan istilah Tanah Melayu kerana pada hemat saya inilah agenda utama yang ingin saya rungkai secara tuntas. Perkara yang ingin saya rungkai ialah perkara tanah dan perkara Melayu. Wacana yang ingin saya buka ialah agenda tanah dan agenda Melayu.

Wacana yang ingin saya timbulkan ini pada hemat saya amatlah penting. Untuk rakaman sejarah, kali pertama saya telah menimbulkan perkara ini secara terbuka di hadapan 40 orang Cina, seorang Benggali dan tiga lelaki India Cawangan Khas yang dihantar khas untuk merakamkan apa yang saya tuturkan. Saya membuat ucapan di program forum parti DAP Ipoh Perak satu bulan sesudah BERSIH5.

Kali kedua saya menimbulkan perkara yang sama ialah di hadapan 26 Cina dan dua orang lelaki India. Ini berlaku di jamuan makan malam tahun baru Cina pada 18 Februari lalu.

Kali ketiga saya menimbulkan perkara ini pada malam 25 Februari yang lalu di hadapan 18 Cina dan dua Melayu. Ini di jamuan makan malam untuk kenalan lama saya dari London.

Perkara yang ingin saya lakar di sini telah lama berlegar dalam kepala saya. Kadangkala ia muncul. Kadangkala hilang. Semua bergantung pada keadaan politik semasa. Ia seperti serpihan batu dalam kasut - terus mengganggu. Justeru pada hemat saya perkara ini wajib dicari jalan penyelesaian.

Malah perkara ini telah berpuluh kali saya bincangkan dengan kawan-kawan rapat. Mendengar pandangan mereka dan melihat jalur fikrah dari apa yang saya timbulkan. Dalam masa yang sama saya cuba menyusun fikrah sendiri untuk melakar tulisan ini.

Awal bulan Februari ini saya telah ditanya oleh serong aktivis Melayu dari parti DAP. Si polan ini telah bertanya tentang keadaan politik negara kita hari ini. Dia juga bertanya kenapa Bani Melayu masih masih lagi bersama United Malays National Organisation?

Perhatikan dengan rapi. Saya merakamkan bangsa-bangsa sosok yang telah mendengar apa yang saya ucapkan. Pembaca mungkin tertanya-tanya kenapa saya tulis bangsa-bangsa orang yang mendengar apa yang saya tuturkan? Apakah bangsa apa yang mendengar ucapan saya ini penting?

Untuk saya secara peribadi, ini amat-amat penting dari sudut rakaman sejarah. Kerana apa yang akan saya timbulkan ini adalah sambungan dari pensejarahan Tanah Melayu. Persoalan yang akan saya timbulkan ini pada hemat saya amat besar sekali. Lebih bertahan dari Gunung Tahan, lebih berlarutan dari Bukit Larut dan lebih tinggi dari Bukit Tinggi.

Apa dia persoalan itu? Sebelum saya merungkai dan menerangkan apa persoalan itu, saya wajib berlaku jujur untuk menerangkan latar yang menimbulkan persoalan itu.

Warga Malaysia telah membaca. Bani Melayu dari semua kelas ekonomi telah mendengar. Dari Tan Sri ke Datuk ke pemandu teksi ke mak cik warung, semua melihat. Warganegara Asean yang peka politik tahu. Warga Asia – China, India dan Jepun – yang membaca akhbar pasti telah terbaca. Warga dunia dari Amerika ke Switzerland telah melihat di kaca TV dan membaca di akhbar masing masing.

Apa yang mereka lihat? Apa yang mereka baca? Apa yang mereka tahu?

Mereka dan kita telah membaca, melihat, mendengar dan tahu berkaitan dakwaan Najib terlibat dalam kes mencuri duit negara. Ini kes rompakan yang paling besar dalam sejarah dunia.

Belum pernah terjadi rompak teratur seperti ini. Malah belum pernah berlaku dalam dunia hinggakan menjemput Jabatan Kehakiman Amerika untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Najib dan konco-konconya.

Kita warga Malaysia juga tahu tentang dakwaan keterlibatan Najib dalam kes pembunuhan Altantuya. Kita membaca siapa Sirul dan siapa Azilah. Kita diberitahu Razak Baginda adalah kawan rapat Najib. Kita diberitahu oleh mendiang PI Bala tentang hubungan dengan Altantuya.

Satu Malaysia juga telah mendengar kes pembunuhan peguam Kevin Morais yang bekerja di pejabat Peguam Negara. Kita juga telah terbaca bagaimana seorang pemilik bank yang bernama Hussain Najadi telah ditembak mati.

Mengikut surah abang Kevin - Charles Morais - abangnya Si Kevin telah telibat dalam kes 1MDB. Bila disebut 1MDB maka muka yang muncul hanyalah muka Najib.

Pascal Najadi - anak kepada Hussian yang mendirikan Ambank mendakwa pembunuhan ayahandanya bukan kerana perebutan harta tanah tapi berkait rapat dengan salah guna kuasa dan rasuah dalam Ambank.

Bila disebut Ambank maka muka Najib akan muncul lagi. Ini kerana mengikut laporan Sarawak Report duit RM2.6 bilion yang didakwa dirompak dari 1MDB telah disalur masuk ke dalam akaun peribadi Najib melalui Ambank.

Mahathir Muhamad bekas perdana menteri Malaysia secara terbuka telah menyatakan kepada umum bahawa Najib ini seorang pencuri, penyamun dan penyangak. Paling terbaru Mahathir telah menuduh Najib sebagai pencuri di Konvensyen Reformis pada Sabtu, 25 Febuari yang lalu.

Mengikut kata-kata Mahathir si penyamun wajib disingkirkan dari berkuasa. Malah Mahathir sedang bekerja keras bukan sahaja untuk menjatuhkan Najib, malah Mahathir juga mahu menghancurkan parti United Malays National Organisation. Pada satu ketika dahulu Mahathir adalah presiden parti ini. Presiden terkini dan terbaru parti ini ialah Najib sendiri.

Najib terpalit pelbagai tuduhan. Ini termasuk kes pembelian kapal selam Scorpene. Tetapi kenapa Bani Melayu masih menyokong Najib?

Ini persoalan kurun ini. Persoalan tentang Bani Melayu ini akan saya cuba jawab. Saya akan cuba cari kenapa dan mengapa, sebab dan musabab. Di mana puncanya? Ke mana berakhirnya soalan ini?

Kenapa Bani Melayu masih menyokong Najib menjadi persoalan induk yang akan membuka wacana ini.

Najib secara jelas adalah orang jahat. Kita, dari kumpulan rasional yang memiliki fikiran seimbang menjadi pelik lagi takjub. Malah sesiapa sahaja yang berfikir secara rasional akan bertanya, mengapa Bani Melayu masih setia dengan Najib?

Soalan ini perlu mendapat jawapan. Soalan ini wajib dikaji dan dirungkai secara ilmiah. Ini kerana kes Najib ini bukan sahaja menjadi persoalan untuk diri saya, malah masyarakat dunia.

Hakikatnya setiap sosok yang memiliki fikiran yang rasional akan mengeluarkan pertanyaan yang sama.

Soalan ini menimbulkan satu lagi soalan. Apakah Bani Melayu ini telah hilang kompas moralnya? Apakah Bani Melayu yang mengakui beragama Islam telah juga hilang pegangan agama? Amalan amar makruf nahi mungkar yang saban saat dilaungkan oleh para pendakwah kini telah dijambankan.

Ajaran agama Islam yang meletakkan kejujuran, kesucian dan berkata benar sebagai rukun iman telah terpancut hilang. Apa ertinya ini? Apakah ada kuasa yang lebih besar dari kuasa agama? Apakah kuasa ini begitu besar hingga boleh mengenepikan ajaran para nabi?

Apakah Bani Melayu tidak dapat lagi melihat apa yang salah dan apa yang betul?

Betulkah kuasa yang lebih berkuasa dari ajaran Nabi ialah kuasa dedak? Maka timbullah hujah yang menjawab bahawa Bani Melayu terus setia dengan Najib kerana kuasa dedak.

Untuk saya hujah ini setengah betul dan setengah salah. Bukan semua Bani Melayu mendapat dedak. Bukan semua Bani Melayu menguasai institusi-institusi penting negara. Bukan semua Bani Melayu menjadi CEO kepada syarikat kerajaan. Bukan semua Bani Melayu mendapat kontrak Petronas. Bukan semua Bani Melayu mendapat projek LRT dan MRT.

Bukan semua Bani Melayu yang berserban dan bertakwa seperti anak mursidul am PAS akan berjaya memiliki kereta Porsche. Bukan semua Bani Melayu memiliki duit untuk membelikan kereta Audi Q7 sebagai hadiah untuk isteri kedua. Bukan semua Bani Melayu mendapat dedak berjuta ringgit seperti kata Husam Musa.

Bukan, bukan, bukan.

Terbukti sahih bahawa dedak bukan sebab Bani Melayu hilang kompas moralnya. Dedak bukan sebab kenapa Bani Melayu hilang kompas agamanya. Justeru saya menolak dedak sebagai sebab musabab kenapa Bani Melayu terus menyokong Najib.

Jika dedak bukan jawapan, maka bolehkah ditakrifkan bahawa Bani Melayu yang menyokong Najib ini adalah dari kumpulan mereka yang bangang, bodoh dan bebal?

Ini juga tidak tepat. Ini juga satu pandangan yang songsang lagi tidak ilmiah. Malah sesiapa yang berpendapat bahawa Bani Melayu yang menyokong Najib itu terdiri dari kumpulan orang bodoh, telah melakukan satu kesilapan. Kesilapan ini muncul dari sikap sombong dan angkuh yang berpendapat dia sahaja yang betul, yang lain semua bodoh.

Tali yang mengikat sokongan Bani Melayu kepada Najib adalah persoalan nasional. Apa yang menjadikan parti United Malaya National Organisation ini terus berkuasa selama 60 tahun ialah persoalan nasional.

Pada hemat saya persoalan nasional ini masih belum selesai. Persoalan nasional inilah yang menjadi sebab musabab keadaan politik kita hari ini. Pencuri penyamun dan pembunuh bebas bermaharajalela tetapi yang jujur dan ikhlas ditangkap, dibunuh dan dipenjara.

Apa itu persoalan nasional? Apa dia persoalan nasional? Tulisan ini hanya mukadimah membuka wacana. Tunggu minggu hadapan. 


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Share