Siapa musuh Trump?


(Dikemaskini )

Minggu lalu saya memberi pencerahan kenapa Doland Trump Presiden Amerika ke-45 terus diserang. Minggu ini saya akan cuba memberi pencerahan siapa yang menyerang Trump.

Melalui berita yang kita baca atau lihat di kaca TV, secara tidak sedar kita sedang menyaksikan bagaimana gerombolan musuh Trump ini sedang merancang dengan licik untuk memastikan Trump tergelincir dari Rumah Putih.

Sebelum itu adalah baik kita semua mengingati kembali bahawa pada satu ketika dahulu Amerika adalah negara demokratik yang bebas merdeka. Sama seperti perjuangan di Tanah Melayu, Amerika Syarikat juga lahir dari perjuangan angkat senjata melawan penjajah British pada tahun 1776.

Hari ini Amerika bukan lagi sebuah negara demokratik tetapi sebuah negara oligarki. Oligarki bermakna satu kumpulan kecil sedang mengusai semua lembaga daulah, menguasai punca ekonomi justeru menguasai kerajaan.

Telah lahir persekongkolan intim antara tentera, jentera daulah, pemilik bank dan pemilik kilang dengan ahli politik. Kuasa semakin terpusat dalam saku satu kumpulan kecil. Bagaimana ini berlaku?

Setelah perang dunia kedua tamat, Amerika telah muncul sebagai satu-satunya kuasa dunia yang memiliki bom atom. Amerika mengambil alih kuasa kolonial imperialis Great Britan. Selepas perang dunia kedua, Amerika yang mengamalkan sistem ekonomi kapitalis terus berkembang pesat untuk menjadi negara imperialis.

Untuk modal terus berkembang maka wajib dicari tanah jajahan baru. Ini untuk mendapatkan bahan mentah dan pemasaran. Ini hukum ekonomi kapitalis. Hukum ini tidak akan berubah-ubah walau pun kepada penjajah Ingegris, Sepanyol, Perancis mahu pun China Merah yang sedang bermula sekarang.

Ini bukan makna tidak ada pemimpin Amerika yang sedar bahawa garis politik demokrasi - dari rakyat untuk rakyat - kini telah tergelincir.

Pada Januari 1961, Presiden Dwight Eisenhower dalam ucapan selamat tinggalnya telah memberi amaran tentang bahaya menyusup masuk pengaruh kompleks industri tentera ke dalam badan politik Amerika. Presiden dua penggal ini, yang juga jeneral lima bintang telah memberi ingatan bahaya gerombolan ini yang akan merosakkan demokrasi.

Presiden Eisenhower telah berkata, “In the councils of government, we must guard against the acquisition of unwarranted influence, whether sought or unsought, by the military-industrial complex. The potential for the disastrous rise of misplaced power exists and will persist.

Ketika Trump mengangkat sumpah amaran yang diberikan oleh Presiden Eisenhower telah berlaku. Kompleks industri tentera kini telah menguasai badan politik Amerika. Kumpulan ini adalah salah satu dari kumpulan yang sedang menyerang Trump.

Secara terang-terang bekas penolong pengarah CIA ketika berkempen pada bulan Ogos tahun lalu telah dilaporkan oleh New York Times sebagai berkata “Trump telah direkrut oleh Putin untuk menjadi agen Rusia.”

Siapa oligarki ini?

Amat jelas industri senjata ini sedang merasa tergugat kerana Trump tidak mahu meneruskan ‘Perang Dingin’ dengan Rusia. Sebagai seorang billionaire Trump mahu berniaga dengan Rusia. Sikap Trump terhadap Rusia inilah yang membawa pelbagai kumpulan untuk mendirikan Barisan Bersatu untuk menentang Trump. Kumpulan dan gerombolan ini merasa kepentingan ekonomi mereka sedang dihuruharakan oleh Trump.

Industri senjata sedang mempertahankan kepentingan kilang senjata yang membekalkan senjata kepada 800 pangkalan tentera yang berselirat di seluruh dunia.

Selain dari industri senjata siapa lagi yang menentang Trump? Siapakah oligarki ini?

Seteru utama Trump ialah Federal Reserve dan bank-bank mega di Amerika. Federal Reserve ini bukan sama seperti Bank Negara kita. Federal Reserve ini adalah bank swasta. Pemiliknya dirahsiakan. Bank inilah yang mencetak duit untuk dijual kepada kerajaan Amerika. Apabila kerajaan Amerika tidak ada duit maka bank ini membenarkan kerajaan Amerika berhutang. Bank ini juga mengendalikan turun naik bunga untuk pinjaman.

Selain Federal Reserve, ada lagi bank seperti JP Morgan Chase & Company, Bank of America Corp, Citigroup Inc dan, dan. dan. Bank-bank gergasi ini memiliki kepentingan untuk memastikan keuntungan sistem ekonomi kapitalis tidak tergugat.

Trump juga sedang diserang oleh kumpulan dan sosok-sosok neo-con atau kumpulan konservatif baru. Seorang pemikir gerombolan ini kita kenali sebagai Paul Wolfowitz. Gerombolan ini dari segi ideologi mahu Amerika terus menerus memerintah dunia ini. Hegemoni Amerika tidak boleh dicabar. Gerombolan ini mahu setiap presiden Amerika menganggap Rusia dan China sebagai musuh.

Trump juga sedang berhadapan dengan syarikat korporat gergasi. Syarikat-syarikat ini telah melabur memberi dana kepada Bush, Clinton, Obama dan Hillary untuk bertanding.

Peranan badan korporat ini sama seperti peranan dakwaan cukong MCA melabur untuk memastikan United Malays National Organisation di setiap pilihan raya akan menang. Kini peranan cukong itu sedang diambil alih oleh syarikat gergasi China Merah.

Syarikat-syarikat korporat ini bersedia menutup kilang di Amerika dan membuka kilang mereka di India, Vietnam, Malaysia, Indonesia dan China. Di negara-negara ini, dengan harga buruh yang lebih murah maka syarikat ini mendapat keuntungan berlipat ganda.

Ini termasuk kilang-kilang sebuah syarikat pertanian dan agrokimia multinasional yang menjual baja dan benih yang sedang meracun rakyat satu dunia. Kilang pertanian gergasi ini sedang bertanggungjawab merosakkan hutan rimba, laut dan sungai dengan racun serangga dan baja kimia mereka.

Tuan-tuan pemilik syarikat bahan bakar petroleum tidak boleh dilupakan. Mereka amat amat berpengaruh dalam politik Amerika. Tuan empuanya syarikat cari gali yang menggali apa saja dalam bumi ini adalah sebahagian dari oligarki yang sedang menentang presiden Trump.

Jangan dilupakan peranan kumpulan lobi Israel. Mereka ini juga amat-amat berpengaruh. Amerika kini telah membuka tiga pentas perang besar - Iraq, Afghanistan dan Syria. Ini belum masuk kira perang di Libya dan Yaman. Semua ini adalah hasil dari perancangan licik kumpulan pelobi Israel. Kumpulan ini telah menjadi sebahagian dari kuasa dalam badan politik Amerika.

6 gergasi media global

Jika diteliti dari segi geopolitik, kesemua perang ini dilancarkan oleh Amerika dengan keselamatan Israel sebagai latar.

Syarikat korporat, tuan kilang dan sosok pemikir haluan kanan konservatif, semua mereka mendapat sokongan media untuk membantai Trump.

Saya wajib memberitahu sekali lagi bahawa media dalam dunia kita hari ini sedang dikawal oleh enam syarikat media global. Mereka ialah G&E, News Corp, Disney,Viacom, Time Warner dan CBS.

Semua berita dalam dunia kita hari ini diarah dan diuruskan oleh enam syarikat media ini. Syarikat ini memiliki ratusan anak syarikat dan jutaan saham dalam akhbar-akhbar di serata pelosok dunia.

Mereka membuat berita dan menyampaikan berita. Lenggok berita yang mereka sampaikan mustahil bertentangan dengan kepentingan kaum pemodal di Amerika. Berita yang mereka jaja pasti tidak akan menyingkap peranan jahat oligarki Amerika.

Contoh terbaik, kesampaian pendatang haram ke Eropah melalui Itali atau Greece tidak pernah dihuraikan sebabnya. Media arus perdana hari ini tidak memberi pencerahan bahawa orang pelarian ini lari dari perang. Perang ini berpunca dari bom Amerika yang disokong oleh sekutunya di Eropah.

Contoh terbaik, media arus perdana tidak pernah menerangkan dengan tuntas bahawa Israel adalah negara pendatang seperti Singapura. Ia diwujudkan untuk kepentingan kuasa Anglo-Amerika. Perang di Lubnan, Jordan, Iraq, Libya dan di Syria berpunca dari Israel yang ingin mempertahankan diri.

Oligarki ini dibantu pula oleh deep state atau daulah terpendam. Siapa dan apa dia deep state atau daulah terpendam ini?

Daulah terpendam ini ialah aparacik rahsia yang diwujudkan atas nama menjaga keselamatan negara. Di Amerika ada nama-nama agensi yang diketahui umum seperti CIA, FBI, NSA tetapi ada banyak lagi yang tidak sepopular CIA dan FBI.

Agensi rahsia ini mengikut perlembagaan bertugas untuk menjaga keselamatan negara. Hari ini agensi ini sedang menjadi benteng untuk mempertahankan oligarki.

Ini sama seperti yang sedang berlaku di Malaysia apabila SB, polis, badan risik tentera dan yang terbaru NSC, mengikut perlembagaan bertugas untuk menjaga keselamatan rakyat dan negara. Tapi kini didakwa menjadi badan untuk menjaga keselamatan Najib-Rosmah. Juga dilihat bagaimana lembaga daulah seperti peguam negara, Bank Negara, SPRM dan SPR akhirnya dituduh menjadi perkakas daulah terpendam.

Perlu saya terangkan di sini bahawa Trump ini bukan daripada elit politik Amerika. Dia tidak pernah ada jawatan politik. Trump seorang ahli perniagaan. Justeru Trump ini tidak tahu ‘skrip’ kaum kapitalis.

Bertanding tanpa derma

Ketika Trump bertanding dia tidak mendapat derma dana dari tuan empunya kilang senjata atau dari Monsanto atau dari Exxon. Trump menggunakan duitnya sendiri untuk bertanding. Justeru Trump bebas bersuara.

Bush, Bill Clinton atau Obama tahu bahawa di belakang mereka adalah tuan empunya kilang. Tuan empunya bank sentiasa memerhati maka ucapan mereka wajib berpada-pada. Malah semua presiden Amerika ini sedar bahawa di belakang mereka adalah kaum pemodal yang mukanya kita semua tidak nampak. Mereka inilah oligarki yang sebenarnya memiliki kuasa di Amerika, malah di dunia.

Justeru kita lihat Mahathir, Anwar, Najib dan Zahid semuanya pergi mengadap ke Rumah Putih. Ini kerana mereka semua ini sedar kuasa sebenarnya adalah bawah tangan para oligarki di Amerika.

Presiden Clinton, Bush atau Obama hanya menjadi wakil oligarki ini. Mereka dinobatkan oleh media dan TV yang juga dimiliki oleh para oligarki ini. Malah kita semua jangan lupa bagaimana Obama pernah menerima Hadiah Nobel untuk Keamanan. Semua ini adalah kerja daulah-daulah terpendam untuk menaikkan tarafnya di muka dunia.

Serangan berterusan terhadap Trump. Anak muda Amerika bangun melawan. Kenapa gerakan wanita keluar berdemo? Apa akhir akan terjadi kepada Trump? Tunggu minggu hadapan. 

Share