malaysiakini logo
story-image
ADS

Pagi Ahad 20 November saya mengeliat cuba bangun perlahan-lahan dari bilik lokap Dang Wangi. Saya mengerekot sejuk kerana berhadapan dengan kipas besar buatan China yang sekejap terpasang sekejap tertutup. Bisingnya jangan dilawan, jika dilawan pasti tak dapat tidur. Jadi bising ini wajib dilayan untuk mendodoi tidur.

Akhirnya saya bangun kerana terlalu sejuk. Lalu beralih jauh ke tepi pintu. Ini tempat yang saya rasa direka untuk buat tempat sembahyang. Ini rekaan bentuk baru lokap Dang Wangi.

Bila sudah berumur memang amat susah menjalar tidur dalam lokap tanpa bantal dan kain selimut. Kali pertama September 1974 dahulu tidur di lokap Johor Bahru tidak ada apa-apa masalah. Malah ketika tiga bulan dalam lokap dan penjara di Bombay pun saya tidak ada masalah.

Tapi kali ini - bila sudah masuk enam siri - nak beralih badan pun amat terseksa.

Sayugia diingatkan dalam lokap kita kehilangan masa. Masa berjalan amat lambat. Kita tidak tahu siang atau malam. Lampu sentiasa terpasang.

Tetiba saya terdengar pintu dibuka. Ini pasti telah melintasi jam 7 pagi. Ini tanda sarapan sampai.

“Bangun. Bangun. Selamat pagi, bro”’.

Saya bersuara membangunkan semua. YB Howard dan Fahmi Reza bangun.

“Selamat pagi, good morning. Ingatkan abang dah lari bebas. Tadi nampak. Lepas itu hilang. Rupanya pindah tempat,” Armand menyampuk.

Awal tidur saya melintang bawah kaki Armand. Bila terlalu sejuk saya pindah ke tempat saya agak tersorok. Hilang dari pandangan Armand.

Sarapan dihantar oleh Mat Bangla yang mungkin sudah jadi ‘senior’ dalam lokap. Ini bukan full English breakfast tapi teh O paling nipis dan sekeping roti yang ada setitik marjerin. Semua terbungkus dalam plastik paling kecil. Khalas.

“Cikgu pukul berapa? Bila lawyer sampai.” Armand melaung tanpa jawapan.

Kami tahu hari ini hari Ahad kami wajib dibawa ke lokap Jinjang untuk pembebasan atau sambung reman.

“Tidur OK, (cuma) bising sikit. Tapi nasib baik tak ada nyamuk,” YB Howard memberi komen positif tentang Dang Wangi.

‘Isham, dia ada bantal. Kena cari botol mineral buat macam dia,” Reza mengeluarkan pendapat bagaimana saya telah berjaya membuat bantal dari botol kosong dan sampah-sampah plastik.

Ini pengalaman terkumpul, sudah jadi ilmu.

Mandi bogel

Saya pergi mandi berbogel ke bilik sebelah. Yang lain saya tidak tahu apakah mereka mandi atau tidak. Kami semua melangut menunggu pintu dibuka untuk bertemu peguam.

Rasa saya hampir jam sepuluh cikgu datang membawa kertas dan menyebut nama kami satu persatu. Kami dikeluarkan. Bersalin pakaian untuk dibawa ke Jinjang. Kali ini kami berempat naik van. Tetiba saya rasa aku satu yang ganjil. Mamat baju kuning pemilik drone itu tidak ada bersama kami. Dia hilang entah ke mana.

Dari pengalaman zaman Reformasi - ada juga OKT Reformasi - kena tahan bersama dan masuk lokap, kemudian hilang bagitu saja. Ini berlaku dalam lokap rumah pasung Jalan Stadium ketika saya ditahan bersama Azmin Ali, Tian Chua, Sivarasa, Dr Hatta kerana Demo Arsenik tahun 2000.

Tapi saya juga terlatih dan berpengalaman dalam hal-hal seperti ini. Bila ini berlaku, si mamat yang hilang itu adalah ejen polis yang dimasukkan untuk ‘memasang’ telinga’. Si drone ini saya tidak tahu apa terjadi.

Sampai di Jinjang para peguam telah menunggu. Hati kami lega. Kami dibawa masuk ke sel menunggu. Di sini kami bertembung dengan Tian, Mandeep, Ronnie, Safwuan, Arul dan Lokman - pelajar UM. Lokman dan Tian baru masuk. Mereka tidak dibawa ke Dang Wangi tapi ke Jinjang. Yang lain ditahan awal. Mereka sedang bersedia untuk dibebaskan setelah dua hari direman.

Heboh. Heboh. Gegak gempita lokap Jinjang. Semua bersalam dan bertanya khabar. Bersalaman macam sudah berpuluh tahun tak jumpa. Ini namanya setiakawan lokap. Hanya yang pernah masuk lokap sahaja tahu perasaan apabila terjumpa kenalan dalam lokap yang sama.

“Makanan kali ini dan berubahlah. Dah best,” kata Mandeep yang telah beberapa kali masuk Jinjang membuat review makanan lokap Jinjang.

Tapi saya tak ambil pot tentang makanan. Mata saya mencari-cari.

Tetiba saya ternampak orang kanan si Jamal Baju Merah. Di mana Jamal berada muka si mamat ini pasti ada sama. Ketika saya diserang di Lumut saya nampak si mamat ini ada bersama. Dan saya ternampak dia menghalang kami di Teluk Intan. Dikatakan dia ini bekas soldadu.

Dari dalam sel saya lihat si mamat ini beratur untuk menukar pakaian dan mengambil barang-barang untuk dibebaskan. Tetiba muncul seorang lagi daripada kumpulan Baju Merah. Si mamat ini sentiasa tersenyum dan bersalaman. Tapi dia ini memakai baju putih lengan panjang. Apakah dia sedang menyamar? Kalau Mamat ini menyamar dengan baju putih jelas dia telah gagal.

Saya nampak Armand berbual mesra dengan si mamat orang kanan Jamal. Apa yang mereka sembang wallahhu 'alam bisawab. Tapi suasana ruang lokap ini ceria dan penuh kegembiraan.

Kami dimasukkan ke lokap atas tuduhan cuba merusuh. Tuduhan ini nampaknya meleset. Orang nombor dua dan nombor tiga dari Kumpulan Baju Merah tidur satu sel dengan kumpulan BERSIH. Tidak berlaku apa-apa rusuhan. Atau ini kerana si Jamal tidak bersama?

Di tepi jeriji sel, Mandeep datang berbisik. Dia menerangkan ada yang ternampak si mamat itu menyerahkan barang-barang sebelum dilokap. Ah! Apakah si mamat ini Tun Daim untuk Jamal?

Tapi si Armand amat cekap. Dia berkisah ketika dia dicekup polis, telefon bimbit, dompet dan semua barangan telah lama diserahkan pada pembantunya. Tidak ada apa-apa yang memudaratkan di badannya. Si Armand ini bijak.

Kumpulan beza, tuduhan sama

Tahanan awal dibawa keluar. Kami kini dibawa ke bilik peguam. Di sana Gobind, Siva, Surendran, Melissa telah bersedia untuk menjadi peguam. Mereka datang dengan dua pembantu. Peguam Armand, seorang wanita muda, ada bersama. Lokman anak mahsiswa UM juga diwakili oleh dua peguam wanita muda. Nampaknya peguam lebih ramai dari yang dituduh.

Wajib saya beritahu, di Jinjang ada sebuah mahkamah kecil yang membolehkan OKT dihadapkan ke muka pengadilan. Ini kerana mengikut undang-undang, semua warga Malaysia, malah sesiapa sahaja yang ditahan di Malaysia wajib dalam masa 24 jam dihadapkan ke hadapan tuan majistret.

Pihak polis boleh meminta tambahan hari reman atau OKT dibebaskan. Kerana kami yang ditahan ini dianggap diketahui umum maka mustahil kami akan dihilangkan dari lokap ke lokap. Ini sering berlaku. Di sini peranan peguam, NGO hak asasi dan saudara mara amat-amat penting agar OKT tidak hilang dalam lokap.

Sebelum masuk ke bilik mahkamah, di bilik peguam, Gobind telah meminta kebenaran Armand untuk memasukkan dirinya sama dalam hujahan nanti. Ini kerana, walaupun dari kumpulan berbeza, kami semua menghadapi tuduhan yang sama. Maka hujah Gobind juga sama boleh dipakai untuk Armand. Si Armand dan peguamnya bersetuju.

Nampak jelas bahawa Gobind dan para peguam BERSIH tidak mengetepikan si Armand. Walaupun selama lebih dari satu bulan kumpulan Baju Merah dan Baju Kuning bertempur. Merah dan kuning dua musuh ketat. Tapi bila di hadapan tuan majistret. Gobind, Siva dan Surendran berhujah untuk semua. Untuk saya inilah kelebihan sikap demokratik peguam daripada Pakatan Harapan. Dalam hal salah benar mereka tidak menjalankan diskriminasi.

Peguam Armand memulakan hujah. Kemudian peguam Lokman. Sesudah dua peguam ini berhujah Gobind anak mendiang Karpal Singh membuka hujah. Kami enam orang berdiri mendengar. Gobind juga meminta YB Zuraidah yang baru ditahan dihantar ke hospital kerana dia masih lagi dalam rawatan - pembedahan dua lutut.

Saya begitu yakin dengan hujah-hujah dan rujukan kes dari Gobind, Siva dan Surendran. Kami yakin kami akan dibebaskan. Reman empat hari yang diminta oleh ASP Tan Shyong Shan akan ditolak.

Tuan majistret Jinjang seorang lelaki Melayu empat puluhan. Dua hari yang lalu dia telah mengarahkan Mandeep dan yang lain-lain direman selama dua hari. Kami tidak tahu apa yang akan terjadi pada kami kerana BERSIH5 telah lama selesai.

Tapi yakinlah bahawa Malaysia ini negara Dunia Ketiga. Dalam Dunia Negara Dunia Ketiga semua jentera kerajaan boleh digunakan untuk mempertahankan kuasa. Ini hakikat politik Dunia Ketiga. Tetapi sesekali saya terlupa juga tentang hakikat ini. Terutama apabila harapan melonjak tinggi dan menenggelamkan fikrah rasional saya.

Akhirnya tuan Majistret membuat keputusan agar kami direman dua hari. Para OKT berpandangan. Reman empat hari permintaan polis ditolak. Hujah ASP Tan kenapa kami perlu direman kerana Bukit Aman masih mahu menjalankan siasatan.

Nasi mamak Eli Wong

Dari lokap kami dimasukkan ke dalam Black Maria untuk ke Dang Wangi. Rupa-rupanya para tahanan awal telah berada dalam kereta yang sama.

Semua tahanan kes BERSIH5 berada dalam sebuah Black Maria kecuali YB Zuraidah yang akan dibawa ke hospital. Saya duduk di sebelah Armand. Kami telah mesra dan bukan lagi musuh. Di luar pintu penjara Jinjang kelihatan para penyokong merah dan kuning. Mereka melaung-laungkan slogan tanda setiakawan.

“Peguam kamu tadi dari mana? Saya bertanya pada Armand.

“Kamu semua sedang tidur. Tak ada siapa sedar... peguam saya datang.”

Wow. Inilah tanda bahawa Datuk Armand ini bukan calang orang. Peguam boleh datang melawat lewat tengah malam. Inilah tanda jelas bahawa sebagai exco Pemuda United Malays National Organisation - tengah malam buta pun rumah pasung boleh dibuka untuk lawatan peguam.

Kami terus dibawa menunggu di tingkat 7. Waktu makan telah lama melintas. Ronnie Liu DAP menelefon pembantunya untuk membawa makanan tTapi gagal kerana telefon tidak ada bateri.

Akhirnya kami semua diselamatkan oleh YB Eli Wong yang datang dengan nasi mamak.

Setelah selesai makan para tahanan awal terus dibebaskan. Kami berenam masih menunggu pegawai Bukit Aman. Kami diberitahu tim cawangan khas akan datang. Kami menunggu. Pembaca juga wajib tunggu hingga minggu depan. 

Lihat Komen