malaysiakini logo
story-image
ADS

Minggu lalu saya menulis bagaimana seorang pegawai polis berpangkat ASP membawa saya dari tingkat tujuh bangunan IPK Kuala Lumpur ke tingkat 14.

This is very rare, jarang OKT dibawa ke sini.”

Ini kata-kata ASP pengiring yang saya tidak tahu namanya.

Betul, memang betul. Keluar sahaja dari lif saya merasakan saya di satu wilayah lain dari yang lain. Amat berbeza dari tingkat 7 – yang rupa bentuk, perabot dan peralatan sama seperti rumah pasung yang biasa kita lihat.

Tingkat 14 kemas, teratur dan dalam bahasa Inggeris dipanggil ‘slick’. Dari koridor menuju ke ruang induk telah dapat saya rasakan ini tingkat istimewa. Tidak ada iklan terkoyak atau tertampal dan tertempel yang mengganggu mata. Tidak ada kain langsir koyak di dinding koridor. Semua cantik teratur dengan penuh estetika.

Masuk saja ke ruang induk, saya rasakan saya sedang masuk ke bilik CEO Petronas atau bilik CEO syarikat multinasional. Saya lihat perabot dari kayu yang baik. Apakah perabot Itali? Hanya pertanyaan. Pertanyaan ini timbul kerana bilik ini amat-amat berlawanan dengan semua bilik-bilik rumah pasong yang telah pernah saya lawati.

Bilik ini besar sedikit dari bilik darjah, mungkin dua kali bilik darjah. Ada empat baris meja panjang tersusun. Antara meja dengan meja ada ruang kerusi. Di atas meja panjang terletak komputer satu persatu.

Di hadapan setiap komputer kelihatan seorang pegawai polis. Pegawai polis ini tidak ambil pot ketika saya masuk. Mata mereka memandang komputer. Saya ternampak beberapa orang polis wanita tetapi tidak ramai. Rasa saya lebih dari 30 orang pegawai polis dalam bilik ini. Ada dua tiga pegawai polis tegak berdiri dan berjalan. Semua dalam bilik ini memakai uniform, kecuali saya yang baru masuk.

Pada hemat saya ini bilik operasi. Apakah ini bilik Ops BERSIH atau bilik operasi untuk seluruh Kuala Lumpur. Walahhu 'alam bissawab.

Saya duduk dihujung meja panjang barisan pertama. Di permulaan meja panjang baris kedua saya ternampak seorang pegawai polis. Saya nampak si polan ini pegawai tinggi. Tetapi dalam hal pangkat memangkat ini saya kurang arif. Yang saya amat kenal hanyalah sang koperal dan tok sarjan. Ini saya kenali dari pengalaman dua tahun duduk di Kem Kamunting.

Si polan ini saya yakin berpangkat besar. Saya ternampak cahaya paku dan bintangnya di atas bahu. Mungkin inilah sosok ketua pengarah Ops BERSIH. Saya memerhatikan mukanya dari jauh. Saya tidak kenal.

ASP pengiring yang membawa saya mengarahkan saya duduk. Pegawai penyiasat saya masih belum sampai. Saya masih lagi menunggu. Ketika menunggu si ASP pengiring terus bertanya beberapa perkara tentang BERSIH. Saya tahu ini juga pertanyaan risikan. Tetapi si ASP ini tidak menuliskan apa-apa yang saya cakapkan. Sebenarnya tidak ada apa-apa rahsia tentang BERSIH yang saya miliki. Lalu kami bersembang.

Tetiba masuk sosok yang ditunggu-tunggu - ASP Tan Shyong Shan dari IPD Dang Wangi. ASP Tan duduk di sebelah kanan. Kini saya diapit oleh dua orang pegawai polis. ASP Tan membuka komputer bimbit. Dia membaca borang yang telah diisi awal tadi di tingkat tujuh.

Ketika ASP Tan membaca pegawai polis berbintang memandang kepada arah kami. Pegawai berbintang mengangkat botol air mineral. ASP pengiring di sebelah kiri bangun dan bergerak keluar. Saya tidak tahu apa yang diisyaratkan oleh pegawai berbintang.

ASP pengiring hilang sebentar. Kemudian muncul dengan dua botol kecil air mineral. Satu untuk ASP Tan dan satu diagihkan untuk saya OKT - Orang Kena Tuduh. Wow, ini berbeza dari zaman Reformasi 1999.

Maka saya bertambah yakin bahawa pegawai berbintang itu pastilah berpangkat tinggi. Hanya dengan mengangkat botol air mineral si ASP pengiring telah bangun dan menjalankan tugas. Tanpa apa-apa perkataan. Ini pasti big boss.

Setelah air mineral diberikan kepada kami, dua ASP ini bercakap dalam Bahasa Cina. ASP pengiring bangun untuk beredar. Sebelum beredar kami bersalaman.

Kini soal siasat saya bermula dengan ASP Tan. Ini sebenarnya hanya formaliti. Nama dan butiran lain telah diambil. Soalan yang lain - bersangkutan dengan BERSIH - saya akan jawab di mahkamah.

Jawab di mahkamah - ini adalah perkara yang wajib diketahui oleh semua aktivis dan bakal aktivis yang mungkin satu ketika nanti akan ditangkap. Nama dan tarikh lahir tidak perlu dirahsiakan. Selain daripada itu, semua pertanyaan saya jawab - akan dijawab di mahkamah.

Saya amat berpengalaman dalam hal ini. Kali pertama saya ditangkap pada bulan September 1974 di hadapan bangunan Setiusaha Kerajaan Johor. Saya ditahan dan dimasukkan ke lokap Johor Baru sebelum di reman satu minggu di Penjara Air Molek.

Kalau saya ini seluar jean Levi's, saya telah ’seasoned’ - lusuh terpakai dan cool. Masuk keluar lokap dan penjara satu perkara biasa.

Tidak sampai satu jam di tingkat 14, kami beredar untuk turun kembali ke tingkat tujuh. Dari dinding tingkap kaca saya nampak Kuala Lumpur. Hujan renyai-renyai. Jam telah lewat. Saya ternampak bayangan kecil beberapa anak muda berbaju kuning berjalan di Jalan Pudu mengarah ke Hospital Tong Shin. Pada hemat saya BERSIH5 telah selesai.

Di ruang masuk saya terserempak dengan Fahmi Reza. Dia juga ditahan. Lalu saya bertanya di mana dia ditangkap. Untuk beberapa minit Fahmi bercerita. Dia ditangkap di KLCC setelah demo BERSIH5 selesai. Saya bertanya, betul ke Dr Mahathir ada sama.

“Ada, Mahathir berucap tadi di KLCC.“

Wow. Jawapan sahih dari Fahmi ini menjadikan saya berfikir sekali lagi. Apakah makna temu bual saya dengan Dr Mahathir untuk Radio Bangsar itu? Apakah temubual itu satu ‘decoy’ yang dijalankan secara licik oleh Mahathir? Wallahhu 'allam bissawab.

ASP Tan meninggalkan saya kepada pegawai polis tingkat tujuh. Dia beredar dan minta saya menunggu. Saya merasa bahawa walau pun semua siasatan telah selesai. Saya yakin malam ini saya akan bermalam dilokap. Persoalannya lokap yang mana?

Saya dibawa masuk ke sebuah lagi bilik. Ini kelihatan seperti bilik rehat kerana saya ternampak satu sosok sedang tidur di atas sofa.

Saya duduk bersendirian. Seorang pegawai polis datang menanya sama ada saya mahu makan atau tidak. Tanpa menunggu jawapan dari saya dia telah meletakkan satu bungkusan nasi ayam. Sekali lagi nasi ayam. Ini jauh berbeza dari zaman reformasi.

Sedang saya makan tetiba sosok yang terbaring tadi datang duduk di sebelah saya. Dia memperkenalkan diri. Saya panggil dia Amin. Dia tinggal di Keramat. Mengikut si Amin ini dia telah 37 tahun berkhidmat. Dan tahun depan dia akan pencen. Bayangkan hampir keseluruhan hidupnya adalah polis. Si Amin ini bertugas dalam bahagian jenayah.

Bila terdengar yang dia dari Jabatan Jenayah saya amat suka hati. Inilah yang saya cari-cari. Saya amat suka mendengar kesah curi, rompak dan tipu daya. Semua ini bahan kreatif untuk saya.

Si Amin bertanya tentang saya. Saya terangkan saya ini menulis. Dia juga ada niat untuk jadi penulis. Tetapi belum mencuba lagi. Saya katakan bahawa saya amat gembira dapat bertemu dengan seorang polis yang telah berkhidmat selama 37 tahun.

“Anak berapa orang?” Soalan biasa yang saya terima di setiap balai polis dan di setiap soal siasat.

“Tak ada anak.”

“Tak ada rezeki. Isteri di mana?” Saya menggeleng kepala.

“Dah meninggal” Saya menggelengkan kepala lagi.

“Saya tak ada isteri.”

Mata Amin memandang dengan wajah yang tidak percaya. Lalu saya menyelesaikan masalah dengan membuka surah sedih bagaimana isteri saya seorang wanita Sweden. Tetapi saya tidak sanggup membawa sang isteri pulang ke Malaysia. Manakala saya juga tak sanggup tinggal di Sweden.

“Di Sweden tak ada petai. Saya tak sanggup tinggal di sana.”

Si Amin mengucap bila saya selesai bersurah. Dia percaya betul tentang surah saya ini. Tapi inilah jalan pintas untuk saya menyelesaikan persoalan kenapa Hishamuddin Rais terus solo hidup berseorangan.

Si Amin ini tidak tahu sangat siapa saya dan apa latar belakang saya. Ini menjadi perbualan kami lancar. Dia berkisah tentang kehidupan yang susah. Gaji yang kecil. Sewa rumah yang mahal. Membesarkan anak anak ke sekolah. Ini suara hati rakyat biasa.

“Alhamdulliah, anak-anak saya tidak gagal. Rezeki saya bukan wang haram. Rezeki dari titik peluh saya. Amin berkisah bagaimana dia bersusah payah memastikan anaknya sampai ke universiti. Bila Amin melontarkan ‘rezeki halal' maka saya faham bahawa maknanya mungkin ada anggota polis menerima wang ‘haram’.

"Kau tahu, saya ini telah berjaya. Kejayaan seorang polis bukan pangkat. Kejayaan seorang polis bukan harta yang dikumpul. Kejayaan seorang polis ialah dia berpencen sebagai anggota polis."

Wow. Pada awalnya saya tidak faham apa yang dimaksudkan. Bila saya ulangi kata-kata itu maka saya sedar bahawa si Amin ini amat banyak pengalaman dan tinggi falsafahnya.

Sedang sedap bersembang tetiba saya dipanggil ke luar. Di ruang hadapan Fahmi Reza sedang bercakap dengan seorang Cina berseluar hitam dan berbaju putih dengan tanda Majlis Peguam tergantung di leher. Ini pasti peguam kami.

Tetiba YB Howad Lee muncul dari bilik yang lain. Kami difahamkan oleh peguam yang kami akan ditahan. Esoknya akan pihak polis mahu mereman kami. Saya terangkan semua telah selesai. Kenyataan bertulis telah diambil. Malah gambar saya pun telah digamkan ke dinding sebagai bahan sejarah. Lalu kami semua ketawa.

Saya menoleh ke dinding dan nampak muka Nik Nazmi, Pak Samad, Tian Chua, Arman, Ivy Josiah. Apakah muka-muka ini telah ditahan?

Sedang saya mengamati gambar ini muncul Datuk Armand Baju Merah. Ini musuh Baju Kuning. Kami semua tersenyum dan bersalaman sekali lagi.

Peguam kami beredar. ASP Tan muncul dan memberi arahan bahawa kami turun dan dibawa ke rumah pasung Dang Wangi. Kami naiki sebuah van yang pintunya amat susah untuk ditutup. Berkali-kali cuba ditutup tetapi gagal.

“Armand, inilah contoh bajet tak cukup,” saya melepaskan kata. Semua ketawa. Armand Baju Merah ketawa sama.

Pintu van akhirnya dapat ditutup dan kami bergerak. Di pintu besar IPK Kuala Lumpur kelihatan beberapa aktivis berdiri memberi semangat setiakawan. Saya ternampak juga beberapa orang peguam.

Perjalanan ke Dang Wangi tidak susah. Maghrib telah lama selesai. BERSIH5 telah tamat. Semua halangan polis telah ditarik kembali.

Kami tidak digari tapi diiringi oleh ramai polis. Kami masuk ikut pintu belakang. Kemudian dibawa di bilik lokap. Di tepi pintu lokap saya ternampak seorang lelaki berambut panjang memakai Baju Kuning BERSIH5 sedang tersadai. Siapa Lelaki ini? Tunggu minggu hadapan. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen