Dari tingkat 7 ke tingkat 14

Hishamuddin Rais
(Dikemaskini )

Minggu lalu saya menulis tentang apa yang telah berlaku kepada saya ketika BERSIH5 berlangsung. Sebenarnya ketika anak semua bangsa berdemo pada 19 November 2016, saya tersadai di tingkat 7 bangunan ibu pejabat kontinjen polis (IPK) Kuala Lumpur.

Ada satu perkara yang amat pelik lagi memelikkan dalam kes tangkapan Hishamuddin Rais ini. Sebenarnya, semenjak saya pulang ke Malaysia dari London setelah 20 tahun berkelana, entah berapa belas kali saya telah ditangkap dan ditahan oleh polis, SB atau oleh tim tangkapan PDRM.

Tahun 1994, tiga hari sesudah sampai ke Jelebu dari London, saya telah dikenakan Akta Keselamatan Dalam Negeri ( ISA). Saya ditahan selama dua minggu. Dalam masa dua minggu ini semua maklumat peribadi telah ditanya.

Pada zaman Reformasi 1998, saya telah tiga kali ditahan. Satu kali saya telah ditangkap di rumah tumpangan saya di Bukit Robson belakang Mid Valley. Ketika di rumah pasung semua maklumat diri telah diulang beri.

Kemudian pada tahun 2001 saya ditahan sekali lagi. Ini kali kedua ditangkap dengan menggunakan ISA.

Soal siasat berjalan berhari-hari selama dua bulan. Berat badan, warna rambut, tatu di badan semua dirakam. Hanya 'ehem' sahaja yang tidak diukur. Saya gembira sekali kalau PDRM ingin mengukur atau mengambil contoh. Saya ingin memperagakan kejantanan saya.

Hakikatnya setiap kali saya ditangkap, soalan-soalan yang sama ditanyakan. Nama, tarikh lahir, di mana lahir, nombor kad pengenalan lama dan baru, alamat rumah, nama ayah, nama emak, nama adik beradik. Di mana saya belajar. Apa saya belajar. Nama sekolah, nama universiti. Ijazah apa saya pegang dan apa pekerjaan.

Pada hemat saya, setelah berbelas kali Hishamuddin Rais ditangkap pasti ada rekod dalam komputer PDRM. Dalam zaman teknologi ini pasti data dan maklumat tentang saya boleh diklik serta merta.

Dengan teknologi ini saya amat yakin pihak polis boleh memasukkan maklumat baru yang terkini apabila berlaku tangkapan baru. Bukan mengulang tanya perkara yang sama.

Untuk saya, pada tahun 2016 ini tidak ada apa-apa maklumat baru. Emak, ayah dan abang saya telah arwah. Ini telah dirakam ambil ketika saya ditangkap sehari sebelum Rosmah mengadakan 'kenduri diraja' menerima menantu di Pusat Konvensyon KLCC pada 28 April 2016.

Bujang, tapi ada 2 anak

Justeru tangkapan pada 19 November lalu tidak ada maklumat terbaru.

Ada satu perkara lagi yang wajib saya rakamkan untuk pembaca yang belum pernah ditangkap atau belum pernah bermalam dalam lokap atau belum pernah masuk penjara. Perkara ini ialah tentang status peribadi.

Status peribadi yang saya maksudkan ialah pihak polis ingin tahu siapa nama isteri?

Bila nama isteri ditanya saya menjawab, “Belum ada nama lagi.”

Sang polis ini memandang tepat muka saya. Dia macam tidak mendengar apa yang saya katakan. Dia mengulangi pertanyaan. Saya menjawab sekali lagi. Polis bertambah hairan. Akhirnya saya terang yang saya ini bujang.

Si polis menulis jawapan saya. Kemudian muncul soalan kedua, siapa nama anak? Ini kerana dalam kertas sang polis selepas nama isteri ialah nama anak-anak.

Bila soalan ini dikemukakan, saya menjawab, “Ada dua ekor. Seekor bernama Jai dan seekor lagi bernama Ezi. Jawapan saya menjadikan sang polis tidak selesa.

Lalu saya katakan bahawa saya belum berkahwin lagi. Masih bujang. Bila jawapan saya didengar sang polis menjawab dengan satu soalan juga.

Belum kahwin? Kenapa? Sang polis menjadi hairan.

Soalan dari sang polis ini saya terima setiap kali saya ditangkap. Bila soalan ini terhambur mata sang polis yang bertanya akan memandang tepat ke mata saya.

Mata yang memandang saya ini seolah-olah merasa kasihan kerana saya tidak pernah meniduri perempuan atau tidak tahu apa itu seks. Atau mata ini merasa kasihan kerana Hishamuddin Rais mungkin mati pucuk.

Sebenarnya sang polis ini tidak sedar bahawa dalam dunia berteknologi ini makin ramai sosok yang tidak memerlukan permit atau surat tauliah atau watikah kebenaran dari Jakim, Jawi atau Jais atau tok kadi apabila mereka ingin bersenggama.

Kalau tidak percaya apa yang saya katakan ini, sila lawati Jalan Pudu selepas jam 10 malam. Saksikan sendiri. Orang-orang bujang memendam rasa.

Pengalaman ditanya perkara yang sama berulang-ulang kali menguatkan hasrat saya untuk menjadi seorang ahli perniagaan Bumiputera. Saya ingin mengusulkan cadangan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) agar saya dianugerahkan kontrak untuk mengumpul data ‘orang jahat’ yang pernah makan tidur percuma di Dang Wangi, di Jinjang atau di rumah pasung yang lain.

Data ‘orang jahat’

Jika ini dapat dilakukan maka ia akan mempercepat kerja polis dan tidak perlu meminta mahkamah memberi reman tiga atau empat hari atas alasan pegawai penyiasat memerlukan masa untuk kumpul maklumat.

Seharusnya dalam zaman ini, klik sahaja komputer, data ‘orang jahat’ - maklumat Hishamuddin Rais akan muncul.

Sayugia diberi ingatan, projek sebegini jangan diberikan kepada syarikat Israel atau syarikat Singapura atau syarikat China Merah. Syarikat dari negara-negara ini ada agenda tersorok. Sokong syarikat Melayu-Bumiputera yang Islam.

Jam telah melintasi lebih jam 3 petang. Saya tidak tahu apa yang berlaku di luar. Saya masih lagi tersadai di tingkat 7 di IPK Kuala Lumpur. Saya menunggu pegawai penyiasat yang dikatakan akan datang dari rumah pasung Dang Wangi.

Di ruang hadapan saya terdengar keadaan heboh-heboh. Saya memasang telinga. Dari jauh saya memerhatikan beberapa orang polis memperagakan telefon bimbit masing-masing. Kemudian seorang polis menunjukkan skrin telefonnya kepada saya. Saya menukar kaca mata untuk melihat imej yang terpampang.

Aduh! Saya ternampak gambar Mahathir memakai baju BERSIH5. Di belakang Mahathir ada seorang lelaki berdiri di hadapan tangga. Dan di sebelah kanan Mahathir ada seorang anak muda.

Polis di tingkat 7 IPK Kuala Lumpur pada 19 November 2016 menjadi heboh kerana Mahathir diberitakan sudah sampai ke Subang untuk turun berdemo bersama BERSIH5.

“Ini gambar Mahathir baru turun dari kapal terbang, baru mendarat di Subang.”

Saya terdengar suara ini dari seorang pegawai.

Saya ketawa. Saya ketawa kerana saya tidak percaya yang Mahathir ada bersama. Saya anggap sang polis di tingkat 7 sedang melakukan perang saraf kepada saya. Atau tim perang saraf gerakan anti-Najib telah berjaya membuat propaganda.

“Ini gambar lama, Mahathir di luar negara,” saya menerangkan dengan penuh keyakinan.

Malah saya langsung tidak percaya pada ketika itu bahawa Mahathir telah sampai. Mustahil. Impossible bak kata orang Belgium.

Saya memiliki hujah yang tuntas untuk tidak percaya pada gambar yang saya lihat. Saya tidak percaya yang Mahathir Muhamad akan bersama BERSIH5 pada 19 November 2016 kerana pada 3 November 2016 saya telah menemui bual Mahathir. Temu bual selama 20 minit itu dirakam khas oleh Radio Bangsar Utama. Rakaman ini telah disiarkan pada jam 9 malam Rabu 16 November.

Mahathir terbatuk-batuk

Radio Bangsar Utama membuat temu bual ini sebagai salah satu dari kempen untuk menghasut orang ramai turun bersama BERSIH5.

Dalam temu bual itu, saya bertanya kepada Mahathir, “Tun pada pagi Sabtu 19 November 2016 di mana Tun akan berada?”

Mahathir terbatuk-batuk sebelum menjawab. Kemudian Mahathir meledakkan jawapan.

“Saya akan berada di Khartoum, Sudan. Ada program yang telah lama disusun dan dah beberapa kali diubah tarikh.”

Ini rakaman sejarah Radio Bangsar Utama. Apabila temu bual ini didengarkan kepada umum, media telah memetik tentang Mahathir tidak akan hadir di jalan raya pada19 November 2016. Berita ini tersebar luas dan menimbulkan pelbagai reaksi.

Geng Najib dan para macai Najib amat gembira apabila berita “Mahathir tidak datang BERSIH5”. Malah ada yang berpendapat bahawa Mahathir sengaja menghilangkan diri.

Berasaskan temu bual Radio Bangsar, yang saya buat sendiri, saya telah menolak kehadiran Mahathir dalam di BERSIH5. Saya tidak percaya gambar kesampaian Mahathir di lapangan terbang Subang dengan jet persendirian. Untuk saya ini hanya propaganda yang licik.

Pada masa yang sama, saya juga wajib mengakui bahawa saya telah terputus hubungan dengan dunia luar. Saya tersadai menunggu pegawai penyiasat dari rumah pasung Dang Wangi untuk berjumpa dengan saya.

Entah jam berapa, saya telah kehilangan tanda waktu. Tetiba seorang pegawai polis beruniform datang menemui saya. Wajib saya nyatakan di tingkat 7 semua polis tidak memakai uniform. Mereka semua ‘freeman' - kerja menyamar seperti orang biasa.

Pegawai yang ini berpangkat. Saya nampak ada bintang di atas bahu. Dia lelaki Tionghua. Saya bertanya adakah dia pegawai penyiasat? Dia berkata bukan dia. Lalu si pegawai ini mengarahkan saya mengikut dirinya.

“Kita pergi ke tingkat 14. Jarang ada orang yang disyaki dibawa ke tingkat 14. You are very lucky,” katanya.

Sebelum saya meninggalkan tingkat 7, mata saya memerhatikan Armand Baju Merah tidak lagi berada di ruang depan. Saya ternampak sekali lagi nama dan gambar sosok-sosok yang dijangka akan hadir di BERSIH5. Dalam hati saya adakah mereka semua ini dalam senarai tangkapan?

“Kita gerak sekarang.”

Dan kami masuk ke dalam lif menuju ke Tingkat 14. Ada apa di Tingkat 14? Tunggu minggu hadapan. 
 

Ketika BERSIH berlangsung


Artikel berkaitan

Share