malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
story-image
ADS

Ahad, 4 Disember 2016 merupakan hari yang cukup bersejarah. Berlangsungnya dua peristiwa penting yang menandakan pensejarahan politik terkini di Malaysia.

Peristiwa pertama, perhimpunan aman ‘Solidariti ummah Rohingya’ yang dihadiri pimpinan tertinggi PAS dan Umno. Kira-kira 7,000 orang penunjuk perasaan hadir di Stadium Mini Titiwangsa, Kuala Lumpur bagi membantah kezaliman paling baru yang terjadi terhadap masyarakat Rohingya di Myanmar.

Himpunan tersebut disertai Perdana Menteri Najib Abdul Razak dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Sejarah pertama, demonstrasi, tunjuk perasaan dan himpunan secara aman seperti yang terkandung dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan telah menjadi budaya politik Malaysia.

Peristiwa kedua, Konvensyen Parti Tindakan Demokratik (DAP) ke-50 menyaksikan kepimpinan Pakatan Harapan iaitu Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Dr Mahathir Mohamad, Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Presiden AMANAH Mohamad Sabu duduk sepentas bersama pemimpin kanan DAP Lim Kit Siang serta pengasas parti itu, Dr Chen Man Hin.

Sejarah kedua, politik sempit perkauman semakin tersudut dan terpencil dicabar politik baru yang terbuka serta demokratik, sebuah penyatuan dalam keragaman.

Kita tidak menafikan keperluan membantah kekejaman ke atas masyarakat Rohingya, tetapi kita juga perlu meneliti keperluan seorang perdana menteri campur tangan urusan dalaman Myanmar dengan kaedah berdemonstrasi itu.

Makanya, Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan, “buat apa PM berdemo?” Sambil itu, beliau membuat gesaan supaya Malaysia memutuskan hubungan diplomatik dengan Myanmar sebagai langkah tegas kerajaan membantah penghapusan etnik Rohingya itu.

Bukanlah pula bermakna kepimpinan Pakatan Harapan yang ikut serta Konvensyen DAP itu tidak prihatin dengan nasib masyarakat Rohingya di Myanmar apabila tidak berdiri sebaris bersama kepimpinan Umno-PAS.

Kita boleh memeriksa pendirian para kepimpinan Pakatan Harapan dari semasa ke semasa berkaitan dengan masalah masyarakat Rohingya.

Malah dalam isu ini, majoriti anggota-anggota parlimen – apa pun parti politiknya – sepakat bersolidariti. Justeru, hal inilah yang membolehkan Akta Antipemerdagangan Manusia dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2015 diluluskan di parlimen.

Pindaan tersebut membolehkan mangsa pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran, dalam kes ini, masyarakat pelarian Rohingya dapat bebas bergerak, termasuklah untuk mendapat hak pekerjaan sewaktu dalam ‘tempoh perlindungan’.

Pendatang tanpa dokumen

Pindaan itu juga mensasarkan badan-badan bukan kerajaan dilantik sebagai pegawai kebajikan kepada mangsa dan penubuhan rumah-rumah perlindungan.

Walaupun pindaan tersebut telah diluluskan parlimen, ia masih tidak mencukupi kerana belum sepenuhnya dapat dilaksanakan dan digazetkan sebagai undang-undang.

Malaysia seharusnya melaksanakan cadangan yang dibuat kumpulan advokasi guaman dan hak asasi manusia, Lawyers for Liberty agar kerajaan menandatangani Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) 1951 berkaitan hak pelarian.

Ia supaya Malaysia dapat memiliki dasar pelarian yang berasaskan piawaian antarabangsa.

Lawyers for Liberty mengingatkan kerajaan Malaysia bahawa para pelarian Rohingya di Malaysia masih dilayan sebagai pendatang tanpa dokumen sah, terdedah kepada perundangan dan dasar imigrasi Malaysia yang keras.

Tanpa dokumen sah, para pelarian Rohingya ini tidak boleh bekerja, hidup dalam ketakutan, berhadapan penangkapan dan gangguan pihak berkuasa. Mereka juga tidak dapat keperluan dan kemudahan asasi manusia iaitu hak terhadap penjagaan kesihatan dan pendidikan buat anak-anak mereka.

Tahun 2015 lalu, kita belum lagi lupa dengan nasib ribuan pelarian Rohingya yang hanyut di lautan. Dasar kerajaan Malaysia pada awal krisis kemanusiaan ketika itu – meski menjawat kerusi pengerusi Asean – adalah menawarkan air, makanan, minyak dan bantuan perubatan tetapi menghalang mereka daripada mendarat.

Perangkaan rasmi Agensi Pelarian PBB, UNHCR menunjukkan pada penghujung Oktober 2016 terdapat seramai 54, 856 orang pelarian Rohingya di Malaysia.

Masyarakat pelarian Rohingya perlu diberikan hak kependudukan yang sah di Malaysia sebagai pelarian dan pemohon suaka. Para pelarian Rohingya ini dapat membantu Malaysia yang sangat bergantung dengan guna tenaga kerja dari negara-negara luar.

Masyarakat Rohingya ini akan akan berkehidupan, mengimarahkan ekonomi, berbelanja dan membayar cukai di Malaysia serta mereka tidak akan membawa pulang hasil pendapatan mereka ke negara asal. Mereka sudah tidak punya tempat asal lagi.

Dalam jangka panjang, diharapkan parti pemerintah tidak mengeksploitasi dan memanipulasikan kedudukan terdesak para pelarian Rohingya ini untuk ditukar ganti dengan hak kewarganegaraan yang bertimbal balik ‘budinya’ itu melalui sokongan undi dalam pilihan raya nanti.

Pada peringkat Asean pula, kerajaan boleh menekan Myanmar berlandaskan Piagam Hak Asasi Manusia Asean, sebagaimana yang diutarakan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dalam himpunan tersebut.

Perdagangan dua hala

Malaysia menjawat kerusi Majlis Keselamatan PBB yang bakal berakhir pada 31 Disember 2016 ini.

Masih belum terlambat untuk Perdana Menteri Najib Razak berbuat sesuatu yang menunjukkan ketrampilan kepimpinan Malaysia di peringkat antarabangsa, jika benar ia bukan sekadar retorika.

Retorika kerana Perhimpunan Agung Umno baru sahaja selesai. Perhimpunan yang bolehlah disimpulkan sebagai pentas 'membelasah' bekas presiden parti mereka sendiri.

Ironisnya, Dr Mahathir yang pernah berkhidmat sebagai presiden Umno selama 22 tahun itu, kini turut dilemparkan gelaran pengkhianat dan penderhaka.

Selain Dr Mahathir, parti DAP juga terus diserang apabila dituduh sebagai induk kepimpinan 'Cina' dalam Pakatan Harapan yang akan menggugat hak-hak orang Melayu.

Begitulah lazatnya hidangan politik PAS-Umno yang cuba disajikan kepada kita. Bahawasanya dengan berdemonstrasi bersama dalam isu Rohingya ini, mereka kelihatannya lebih Melayu dan Islam.

Mereka juga punya satu lagi matlamat yang perlu dicapai bersama, ke arah pelaksanaan hukum hudud PAS dan Umno di Malaysia.

Tetapi begitulah hakikat dunia hari ini, hukum zaman adalah hukum modal (wang, harta, kekayaan) yang akan mengatasi segala-galanya.

Bukankah itu yang disebut, “wang itu raja.“

Malaysia merupakan negara ke-7 pelabur paling besar di Myanmar. Setakat Jun 2015, Malaysia telah pun melabur sejumlah AS1.66 bilion dolar.

Perdagangan dua hala Malaysia dan Myanmar pada 2014 berjumlah AS972.1 juta dolar.

Antara keuntungan pelaburan di Myanmar dan penghapusan etnik Rohingya, yang mana satu hendak didahulukan?

Lihat Komen