malaysiakini logo
story-image
ADS

Minggu lalu saya mengakhiri tulisan dengan mengatakan bahawa dalam perjanjian TPPA ini tidak ada sesiapa yang tahu isi kandungan secara teperinci.

Saya juga mengatakan bahawa Najib Razak, Tok Pa, Zahid Hamidi dan Khairy Jamaluddin juga tidak tahu buah butir perjanjian ini. Perbincangan TPPA ini dijalankan secara rahsia . Jika semua rahsia siapa yang tahu?

Kita wajib berterima kasih kepada Julian Assange. Anak lelaki kelahiran Australia ini pada ketika ini sedang menyelamatkan diri dalam kedutaan Ecuador di London semenjak tahun 2012. Julian dikhendaki oleh kuasa Amerika kerana membocorkan banyak rahsia jahat Amerika.

Sebagai ketua pengarang Wikileaks, Julian telah membocorkan banyak maklumat Amerika dan maklumat kerajaan yang jahat termasuk kerajaaan Malaysia kepada rakyat dunia.

Sosok seperti Chelsea Manning dan Edward Snowden bertanggungjawab menjadi pembocor maklumat. Mereka bekerjasama dengan Julian.

Chelsea Manning bekas soldadu Amerika yang bertugas di Iraq kini dipenjara 35 tahun kerana membocorkan rahsia jahat Amerika dalam Perang Iraq.

Edward Snowden, pakar IT di Jabatan Keselamatan Negara Amerika, lari ke Hong Kong kemudian mendapat suaka politik di Rusia.

Satu contoh terbaik pembocoran Wikileaks ialah draf penjanjian Anti-Couterfeiting Trade Agreement - ACTA. Perjanjian ACTA ini adalah percubaan Amerika untuk mengawal semua hak milik intelektual.

Rancangan Amerika ini telah digagalkan apabila MP Eropah mendapat maklumat rahsia perjanjian dari Wikileaks. Hasilnya: ACTA telah ditolak dan digagalkan.

Kes yang sama juga telah terjadi dengan TTPA. Orang ramai, aktivis dan NGO tahu sedikit tentang penjanjian TPPA ini kerana Wikileaks telah membocorkan empat bab perjanjian ini.

Empat bab perjanjian TPPA yang dibocorkan oleh Wikileaks ini memang tidak mencukupi untuk mengetahui kesemua butir perjanjian.

Tetapi maklumat ini memadai untuk orang ramai sedar dan memahami bahawa Amerika akan menggunakan TPPA ini sebagai jala untuk menangkap semua negara agar tunduk kepada kepentingan kaum pemodal Amerika.

Antara empat perkara yang telah bocor dalam penjanjian TPPA ialah:

1- TPPA akan memansuhkan semua rintangan untuk membolehkan syarikat gergasi internasional masuk melabur di mana-mana negara yang menandatangai TPPA

2- TPPA akan memastikan hak milik intelektual dimiliki oleh syarikat Amerika untuk menjadikan harga ubat-ubatan melambung tinggi

3- TPPA mengawal hak milik intelektual yang akan menghalang inovasi digital dan menguburkan hak asasi

4- TPPA akan membenarkan syarikat multinational menyaman kerajaan

Ini satu fakta. TPPA telah mengadakan banyak perbincangan tetapi semuanya tertutup. Semuanya rahsia. Semua butir maklumat dirahsiakan dari pengetahuan orang ramai yang memiliki kepentingan dalam perjanjian ini.

Semuanya dirahsiakan kerana imperialis Amerika tahu jika butir maklumat ini diketahui umum maka seperti ACTA, perjaniian TPPA ini juga akan ditolak.

Tok Pa yang menjadi wakil Malaysia ke perbincangan TPPA telah berbohong kepada kita semua. Tok Pa atau Mustapa Muhamad anak Kelantan keturunan Bani Melayu ini telah berbohong. Tok Pa dari parti politik ketuanan Melayu yang memanggil parti mereka United Malays National Organisation telah menipu semua Bani Melayu di Tanah Melayu ini.

Pembohongan dan penipuan ini boleh dibuktikan dengan senang dan tuntas. Buktinya: Bani Melayu dan rakyat Malaysia tidak tahu apa isi perjanjian TPPA ini. Bani Melayu dan rakyat Malaysia ada kepentingan dengan TPPA.

Sebagai warganegara, kita semua adalah pihak berkepentingan atau pemegang saham. Justeru orang ramai wajib tahu apa tertulis dalam Perjanjian TPPA.

Ketika perbincangan TPPA berjalan orang ramai tidak diberitahu bahawa di belakang TPPA ini ialah syarikat gergasi multinasional. Syarikat besar inilah yang merancang dan menyusun agenda TPPA. Syarikat ini memainkan peranan yang lebih besar dari kerajaan, dari NGO atau dari kumpulan yang berkepentingan.

Syarikat ini memastikan kepentingan perniagaan mereka diutamakan. Keuntungan maksimum menjadi pedoman Perjanjian TPPA ini

Dalam kes Malaysia, parti Ketuanan Melayu ini telah digunakan untuk menipu Bani Melayu. Ini kerana jika Bani Melayu diberitahu dan disedarkan bahawa Tanah Melayu akan dijual kepada syarikat gergasi antarabangsa, pasti bani Melayu akan membantah.

Dalam tulisan ini saya buktikan bagaimana Tanah Melayu ini sedang dijual kepada syarikat multinasional.

Melalui maklumat yang dibocorkan oleh Wikileaks, kita tahu bahawa syarikat antarabangsa ini telah melakar perjanjian TPPA ini untuk memastikan semua rintangan perniagaan yang wujud hari ini dilupuskan.

Tidak akan ada lagi sekatan kepada syarikat multinasional untuk beroperasi di Tanah Melayu. Contohnya, mungkin orang ramai tidak sedar bahawa bank HSBC – sebuah bank multinasional – dihadkan dari membuka cawangan dari apa yang ada sekarang.

Tetapi apabila TTPA ditandatangani maka rintangan dan peraturan bentuk ini akan lupus. HSBC boleh membuka cawangan di mana sahaja untuk menjadi pesaing hebat kepada MayBank.

Malah perjanjian ini juga akan memesongkan dasar luar negara parti Bani Ketuanan Melayu yang mengakui sebagai pejuang Islam. Segala bentuk syarikat Zionis Yahudi yang memberi dana kepada Israel untuk menggasak warga Arab Palestin boleh membuka perniagaan di Tanah Melayu tanpa halangan.

Dalam perjanjian TPPA ini, Meh Esah & Lebai Jusuh, peguam Pasir Mas yang lulus Undang-Undang Shariah dari UIA – yang Bahasa Inggeris loghat Kelantannya tunggang langgang – boleh membuka firma guaman di Fifth Avenue New York.

Dalam masa yang sama, Baker & McKenzie New York boleh juga membuka pejabat guaman di KLCC. Ini kesamarataan dalam konsep TPPA.

Tidak akan ada lagi apa halangan. Peguam, doktor, jurukira, arkitek dan segala profesional dari Amerika atau dari mana sahaja boleh datang masuk dan membuat apa saja bentuk perkhidmatan mereka di Tanah Melayu. Tidak ada lagi benteng yang mengawal hal anak tempatan.

Ini maknanya kedaulatan Tanah Melayu telah lupus. Semua terbuka luas. Hakikatnya – dalam kata yang kasar – hak keistimewaan Bumiputera akan lupus dalam perjanjian TPPA ini. Hak Raja-Raja Melayu pun akan lupus dan Raja Raja Melayu akan jatuh di bawah naungan syarikat multinasional.

Yang istimewa dalam TPPA bukan Bumiputera tetapi bahawa syarikat gergasi multinasional.

Perjanjian TPPA ini juga membolehkan kerajaan Malaysia disaman oleh syarikat multinasional. Kerajaan boleh disaman jika syarikat multinasional ini mengalami kerugian. Sila ulang baca – mengalami kerugian – ini bukan saya silap tulis tapi ini adalah maklumat rahsia yang dibocorkan oleh Wikileaks.

Apa yang saya tulis ini mungkin susah hendak dipercayai. Mustahil kerajaan ketuanan Melayu ini akan disman oleh syarikat Zionis Yahudi. Dalam Perjanjian TPPA kerajaan disaman bukan mustahil.

Menyaman kerjaaan ini termaktub dalam fasal yang disebut ISDS – Investor-State Dispute Settlement. Fasal ini membenarkan syarikat yang mendapati mereka rugi kerana dasar kerajaan tempatan. Bunyi fasal ISDS ini macam gila tetapi ini adalah fasal yang dilakar oleh syarikat multinasional dalam TPPA.

Jika kurang yakin biar saya buktikan bahawa pada ketika ini telah ada kerajaan yang telah disaman oleh syarikat gergasi multinasional melalui ISDS.

Mengikut data yang tidak diumumkan oleh Bangsa Bangsa Bersatu – semenjak 15 tahun kebelakangan ini terdapat 127 kes di mana kerajaan telah disaman oleh syarikat multinasional.

Kerajaan Ecuador telah disaman AS$1 bilion dolar oleh syarikat minyak Occidental Petroleum. Kerajaan Ecuador telah kalah.

Pada ketika ini secara senyap-senyap, secara berahsia kerajaan Australia dan Uruguay telah disaman oleh syarikat tembakau Philip Morris. Syarikat Philip Morris membantah langkah kerajaan Australia dan Ecuador mengurangkan iklan rokok dan meletakkan tanda amaran – rokok bahaya – pada rokok keluaran Philip Morris.

Poland dan Slovakia juga telah disaman oleh syarikat insuran multinasional kerana dua kerajaan ini membatalkan projek penswastaan hospital mereka.

Paling memeranjatkan kepada rakyat dunia ialah bagaimana kerajaan Mesir telah disaman oleh syarikat multinasional Veolia Peranchis kerana kerajaan Mesir mahu tangga gaji minimum untuk kaum buruh Mesir dinaikkan.

Saman-saman ini berlaku kerana negara ini telah menanda tangani ISDS. Syarikat multanasional merasakan bahawa jika syarikat mereka mengalami kerugian maka mereka akan menyaman. Fasal ISDS ini ada dalam Perjanjian TPPA.

Apa yang saya tulis ini bukan fitnah. Ini bukan tohmah. Semua ini adalah fakta. Tetapi fakta dan berita-berita ini tidak diberitahu kepada Bani Melayu. Malah ahli parti United Malays National Organisation sendiri tidak tahu perkara ini.

Minggu lalu Tok Pa membuat lawak seram. Dia berkata bahawa Malaysia boleh keluar dari perjanjian TPPA ini jika tidak menguntungkan Malaysia. Ini lawak seram kerana butiran fasal yang termaktub dalam perjanjian TPPA ini tidak diketahui. Apa yang kita ketahui hanya maklumat yang telah dibocorkan oleh Wikileaks.

Jika isi kandungan perjanjian ini tidak diketahui bagaimana hendak dikenali sama ada kita untung atau rugi.

Lawak paling bodoh ialah cadangan untuk membincangkan TPPA ini di sidang Parlimen. Saya ingin bertanya berbincang apa? Hendak membincangkan apa? Kita berbincang jika kita tahu apa yang hendak dibincangkan. Jika isi Perjanjian TPPA ini rahsia, apa yang boleh kita bincangkan?

Pada hemat saya kita hanya ada dua pilihan bila berhadapan dengan TPPA. Kita terima atau kita tolak TPPA. Jika kita terima Perjanjian TPPA bermakna Tanah Melayu terjual. Jika kita tolak Perjanjian TPPA kedaulatan Tanah Melayu tidak tergugat. Ini sahaja pilihan yang kita ada.


HISHAMUDDIN RAIS adalah seorang manusia baru dengan roh yang bebas. Pendukung dan pengembang asal mazhab NGI (non-governmental individual). Dipengaruhi oleh fahaman Marxis jenis Groucho.

Lulusan dari sekolah pemulihan pemikiran politik seperti Melbourne Tellamarine Center, Bombay Arthur Road, Ayer Molek dan Dang Wangi.

Lihat Komen